Ishak Ismail (tengah) bersama Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Sany Hamzan (kanan) merasmikan Pelancaran Program MyBestBuy (MBB) dan jualan terus dari ladang bulan Oktober 2019 sempena sambutan ulang tahun fama ke-54 di bangunan FAMA, Bandar Baru Selayang pada 25 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

54 tahun penubuhan, FAMA melangkah ke era pemasaran digital

SELAYANG, 25 OKT: Selaras dengan kemajuan pesat teknologi komunikasi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga tidak ketinggalan dengan memperkenalkan sistem pemasaran secara digital.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, pemasaran digital itu membabitkan semua peringkat iaitu pengeluaran, pemborong dan peruncit.

“Sempena 54 tahun FAMA ditubuhkan kita merencanakan tiga agenda penting untuk mengangkat martabat dan peranan FAMA ke satu tahap lebih tinggi.

“Antaranya, ingin saya maklumkan bahawa FAMA akan menggunakan sistem pemasaran secara digital di semua peringkat yang diusahakan melalui Agro Bazar Online melalui portal, ‘Tani Exspress’ dan ‘Tani Crowd Funding’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Pelancaran Program ‘My Best Buy’ dan Jualan Terus Dari Ladang Bulan Oktober Sempena Ulang Tahun FAMA Ke-54 di Bangunan FAMA Point di sini, hari ini.

Ishak Ismail menyerahkan barangan sumbangan FAMA pada program Jom Kongsi Rezeki berlangsung dalam program jualan terus dari ladang bulan Oktober 2019 sempena sambutan ulang tahun FAMA ke-54 di hadapan bangunan FAMA, Bandar Baru Selayang pada 25 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Ishak berkata, FAMA turut mengambil langkah menggalakkan pihak ketiga atau orang tengah untuk mendaftar dengan FAMA.

Katanya, langkah itu diambil bagi memboleh FAMA melatih golongan ini supaya lebih beretika dan profesional ketika berurusan dengan petani serta juga peruncit.

“Kalau kita wujudkan data orang tengah ini, kita boleh tahu siapa mereka, di mana mereka bergerak, kenal pasti komoditi dagangan mereka dan kita juga boleh bantu kaedah membawa barangan hasil ladang dengan lebih efektif berdasarkan pengalaman yang FAMA ada.

“Peranan orang tengah perlu diberikan pengiktirafan, dikawal etika dan tahap profesionalisme mereka kerana sekiranya mereka menjadi agen penghantar yang profesional saya yakin mereka dapat berikan sumbangan positif,” katanya.


Pengarang :