Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Hans Isaac ketika ditemu bual Media Selangor di Ibu Pejabat FINAS, Hulu Kelang pada 3 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EKSKLUSIF: Hans Isaac saran pelakon muda tidak bawa watak veteran

HULU KELANG, 22 OKT: Dato’ Hans Isaac mencadangkan pelakon muda tidak membawa watak orang tua bagi membolehkan pelakon veteran terus mendapat peluang.

Namun pelakon terkenal itu, yang kini dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), menjelaskan cadangan ini bersifat peribadi dan belum rasmi.

“Kita dalam perbincangan (belum sah). Pelakon muda tidak boleh main watak yang veteran dapat mainkan. Jangan gunakan solekan macam orang tua, putihkan rambut atau sebagainya. Tidak boleh.

“Hanya veteran kita sahaja yang boleh mainkan watak itu. Inilah keutamaan yang kami mahu laksanakan,” katanya kepada SelangorKini dalam wawancara khas awal Oktober lalu.

Beliau ditanya mengenai kebajikan pelakon veteran apabila perbadanan itu ingin memperkenalkan caruman Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada penggiat seni.

Hans menjelaskan, pakej itu akan diperkenalkan kepada pelakon muda bawah 60 tahun tetapi tidak membabitkan penggiat seni warga emas.

“Tahap umur yang kami cadang adalah 60 tahun, tetapi ia menjadi masalah kepada penggiat seni berumur lebih 60 tahun. Kalau mereka kerja, kita tidak boleh paksa mereka dengan syarat yang kami cuba laksanakan,” katanya.

Beliau juga mendedahkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sangat mengambil berat golongan penggiat seni veteran yang tidak bernasib baik.

“YB Menteri agak sensitif dalam hal ini kerana apabila veteran berjumpa dengannya, beliau prihatin. Ini yang YB Menteri selalu bercerita dengan saya,” jelas Hans lagi.

“Oleh itu, beliau mahu fokus kepada isu (nasib) veteran. Setiap mesyuarat beliau akan menyentuh isu veteran. Jadi, kami pengurusan FINAS akan cuba sedaya upaya untuk cari mana-mana peluang membantu golongan ini.”

Berikut bahagian pertama temubual dengan pelakon “Buli Balik” yang memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik Festival Filem Malaysia 2006:

SelangorKini: Sejak memegang jawatan sebagai pengerusi FINAS mulai April lalu, bagaimana Dato’ menghadapinya pada peringkat permulaan ini?

Hans Isaac: Apabila diberi tanggungjawab ini, saya menerimanya sebagai satu tanggungjawab yang besar. Kenapa saya terima? Saya mahu ‘merawat’ FINAS, mengetuai FINAS ini tidaklah begitu penting, tetapi yang lebih penting, hasilnya kemudian. Boleh atau tidak saya membantu industri?

Saya mahu membantu industri (filem), sahabat-sahabat kami yang dalam keadaan kesusahan. Kami laksanakannya untuk kebaikan mereka pada masa depan, (termasuk) pelan perlindungan masa depan dan pelan kewangan.

Kita kena buat semuanya. Banyak perkara yang kita kena lihat, bukan satu sahaja. Semua orang sekarang mahukan (sesuatu) untuk mereka, (sama ada pembikin) filem atau dokumentari, isu hak cipta dan pekerja. Banyak kluster untuk industri ini. Apabila kita laksanakan satu (sahaja), yang lain akan marah.

Ahli-ahli lembaga pengarah FINAS tahun ini bekerja bertungkus-lumus, 15 hingga 20 hari. Sedangkan kerja (mesyuarat) mereka dua atau tiga kali sahaja dalam sebulan, tetapi mereka ambil inisiatif sendiri kerana tanggungjawab mereka.

Salah satu hala tuju Dato’ menerajui FINAS, melaksanakan Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus mengiktiraf industri hiburan sebagai profesional. Boleh Dato’ terangkan lebih lanjut?

(Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober, puluhan ribu penggiat seni boleh mendapat faedah daripada dua skim ini, seperti pekerja dalam sektor lain. — pengarang)

Kepentingan faedah KWSP dan PERKESO ini banyak. Pemain industri mengatakan mereka tidak mampu untuk membuat potongan itu. Ya, kami faham. Memang kami tahu tetapi mereka tidak tahu yang stesen TV akan mengeluarkan wang untuk membantu melaksanakan inisiatif ini. Puratanya (potongan untuk caruman) tidak seperti pekerja sepenuh masa, (potongan ini) asasnya kepada kerja separuh masa.

Jadi, KWSP juga menyatakan apa yang kita (FINAS) mahu laksanakan ini, mereka akan gunakan dalam industri-industri lain juga. Tanpa sedar, usaha FINAS ini tidak hanya kepada FINAS dan industri seni sahaja. Sebaliknya, masyarakat Malaysia dalam pelbagai sektor lain akan menggunakan kaedah ini.

(Dalam belanjawan yang sama, kerajaan bercadang melebarkan manfaat KWSP dan PERKESO kepada 18 sektor lain yang tidak bersifat sepenuh masa, termasuk petani dan nelayan. — pengarang)

KWSP, PERKESO, Kumpulan Astro, Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia bekerja sebaik boleh untuk melaksanakannya. Mereka sokong 100 peratus walau ada orang dakwa mereka tidak sokong. Saya betulkannya, sebenarnya mereka sokong. Cuma perlu pindaan akta, (perubahan) ini akan mengambil sedikit masa.

Bagaimana timbul idea untuk laksanakan dua inisiatif ini, apakah masalah yang timbul dalam industri sehingga FINAS terpanggil untuk melaksanakannya?

Banyak isu-isu dalam industri kita, sahabat-sahabat saya, kru-kru dalam industri kreatif ini. Mereka tidak mempunyai wang atau dokumen (pendapatan) untuk membeli rumah. Jadi, mereka hanya menyewa rumah.

Saya mahu lihat mereka ada rumah sendiri. Apabila pencen, ada satu rumah, untuk balik setiap hari. Saya akan bangga apabila ahli lembaga pengarah dan pengurusan FINAS berjaya melaksanakannya.

PERKESO sebenarnya senang, ia adalah polisi insurans. Apabila kita bekerja, apa-apa (kemalangan) yang berlaku, mereka dapat pelindungan insurans itu. Walaupun habis 18 jam kerja, penat, balik rumah jatuh katil, patah tangan, insurans memberi pelindungan; bukan hanya (kemalangan) di lokasi.

Jadi, struktur (bantuan caruman KWSP dan PERKESO) yang mahu dilaksanakan ini positif 100 peratus.

Ada ramai juga yang merungut soal (pendapatan di) stesen TV, gaji kami banyak ini sahaja. Itu isu berlainan, kita akan lihat kemudian. Jangan gabungkan satu isu lain dengan apa yang kami mahu laksanakan sekarang.

Selain caruman KWSP tadi, mungkin ada cadangan untuk menaikkan gaji kerana ada kru tidak bekerja tetap. Ada kerja, ada gaji dan begitu juga sebaliknya.

Kalau tiada kerja, macam mana kita hendak laksanakan KWSP? Terpulang kepada individu-individu itu sendiri. Kehebatan seseorang artis, kualiti atau hubungan mereka dengan syarikat atau penyiar. Hubungan itu kita tidak boleh jaga (campur tangan) kerana hal itu peribadi antara dua pihak.

Kami hanya usulkan (penambahbaikan). Di Malaysia, gaji minimum sebanyak RM1,100. Walaupun ia masih kurang tetapi itulah gaji minimum yang kita patut berikan mengikut syarat-syarat kerajaan.

Adakala kru dapat hanya RM500, sedangkan gaji minimum RM1,100. Jadi kalau kita (syarikat) buat potongan (caruman) sedikit, mungkin RM100 atau RM80 untuk masa hadapan, kalau (penggiat seni) buat dua kerja sebulan, sudah dapat dua potongan. Jadi terpulang atas individu untuk terima perkara ini atau tidak.

Caruman ini akan memberi faedah kepada artis muda dan baharu. Bagaimana dengan nasib penggiat veteran?

Tahap umur yang kami cadang adalah 60 tahun tetapi ia menjadi masalah kepada penggiat seni berumur lebih 60 tahun. Kalau mereka bekerja, kita tidak boleh paksa mereka dengan syarat-syarat yang kami cuba laksanakan ini.

Jadi, saya akan menggunakan konsep lain. Saya sudah berbincang dengan penyiar dan mereka akan diberikan kerja iaitu:

Pertama, kita masih dalam perbincangan (belum sah). Pelakon muda tidak boleh main watak yang veteran dapat mainkan. Jangan gunakan solekan macam orang tua, putihkan rambut atau sebagainya. Tidak boleh. Hanya veteran-veteran kita sahaja yang boleh mainkan watak itu. Inilah keutamaan yang kami mahu laksanakan.

Kedua, insurans PERKESO. Mereka akan dilindungi oleh insurans. Setakat ini, saya tahu mereka tidak mempunyai insurans ini. Tetapi bukan semua syarikat, ada sesetengah (syarikat) itu ada inisiatif sendiri untuk kakitangan mereka. Oleh itu kami mahu wajibkan kepada semua.

Ketiga, kita akan cuba mencari pembiayaan untuk menangani isu-isu artis veteran ini. YB Menteri agak sensitif dalam hal ini kerana apabila veteran berjumpa dengannya, beliau prihatin. Ini yang YB Menteri selalu bercerita dengan saya.

Oleh itu, beliau mahu fokus kepada isu (nasib) veteran. Setiap mesyuarat beliau akan menyentuh isu veteran. Jadi, kami pengurusan FINAS akan cuba sedaya upaya untuk cari mana-mana peluang membantu golongan ini. Janji kami, kita akan cuba sebaik mungkin. Kami akan berikan yang terbaik.

Wawancara ini dijayakan bersama Nurul Farina Nazlan, Norhayati Umor dan Dewi Abdul Rahman pada 3 Oktober 2019 di ibu pejabat FINAS, Hulu Kelang, Selangor.


Pengarang :