Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan harap jemaah haji kekal disiplin sepanjang berada di tanah suci

SHAH ALAM, 28 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap jemaah haji kekal berdisiplin ketika menunaikan ibadah di tanah suci kelak.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap mereka dapat menumpukan perhatian dalam menunaikan ibadah dan menjaga nama baik negeri dan negara.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pada majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Setakat ini Beta dimaklum bahawa jemaah haji Malaysia termasuk dari Selangor adalah antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Beta berharap semua jemaah dapat menumpukan perhatian ketika berada di tanah suci dan elakkan terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi.

“Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin dilalui terutama ketika berada di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (kanan) menyampaikan cenderhati kepada peserta kursus haji di perhatikan pada Majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 April 2024. Turut mengiringi Baginda, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin turut menyeru jemaah haji saling berganding bahu, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Titah Baginda jemaah juga diingatkan menjaga kesihatan mulai sekarang dan segera ke klinik Tabung Haji di Makkah atau Madinah untuk mendapatkan rawatan.

“Gunakan kemudahan yang ada untuk mempermudahkan urusan mengerjakan haji. Jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media sosial berkaitan kekurangan, kelemahan atau keburukan Lembaga Tabung Haji.

“Sekiranya jemaah menghadapi masalah atau tidak mendapat kepastian mengenai sesuatu perkara, ia hendaklah dirujuk dan berbincang dengan baik melalui saluran yang betul.

“Beta mengucapkan selamat pergi ke tanah suci untuk mengerjakan haji kepada semua jemaah. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua,” titah Baginda.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1445H/2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Terdahulu, turut hadir mengiringi baginda adalah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Pengerusi Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain.


Pengarang :