Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama peniaga di pasar pagi Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Turut bersama Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Kerajaan Perpaduan teruskan legasi bekas ADN, majukan KKB

HULU SELANGOR, 28 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu lebih maju sekiranya calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao diberi peluang meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mampu membawa idea baharu untuk kemajuan Kuala Kubu Bharu.

“Secara peribadi, beliau sangat dedikasi, komited dan dinamik kerana mampu memberi idea baharu termasuk dalam menyampaikan mesej parti.

“Dengan peluang diberikan kepadanya, saya yakin legasi wakil rakyat sebelum ini dapat diteruskan dan mampu bawa perubahan kepada DUN Kuala Kubu Baharu,” katanya ditemui pada sesi walkabout bersama calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu itu di Pasar Karat Batang Kali di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan bercakap kepada media selepas sesi walkabout di Pasar Pagi Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman pula menyifatkan Sock Tao antara wanita muda yang kuat bekerja, berkebolehan selain berpengalaman.

“Beliau bukanlah baru dalam parti dan mempunyai pengalaman luas kerana sering ikut berkempen pada pilihan raya sebelum ini.

“Kehadiran saya adalah mahu memberi semangat kepadanya kerana pelbagai watak dan situasi berlaku sepanjang kempen namun semuanya harus diterima,” katanya.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN itu mempunyai 40,226 pengundi terdiri 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao mengedar risalah profil beliau kepada penduduk di Pasar Pagi Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :