Selangor membenarkan restoran dan kedai serbaneka di negeri ini beroperasi hingga jam 2 pagi.
AGENDANASIONAL

Hadkan masa niaga di Kelantan sekat rezeki rakyat

KOTA BHARU, 23 OKT: Beberapa peniaga restoran dan kedai makan di Kelantan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk mengehadkan tempoh operasi perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam.

Mereka menyifatkan cadangan itu yang bertujuan mengekang gejala sosial, adalah tidak sesuai selain boleh menyebabkan peniaga mengalami kerugian, menyekat punca rezeki serta turut menjejaskan pengguna.

“Peraturan ini dilihat tidak munasabah untuk dilaksanakan dengan alasan untuk mengelak berlakunya gejala sosial, sedangkan kita perlu memandang dari sudut lain,” kata Kuswadinata Mohammad, peniaga kedai makan di Kampung Pantai Mek Mas di Kuala Besar, di sini.

Kuswadinata, 57, yang telah menjalankan perniagaan kedai makan selama dua tahun berkata, cadangan itu juga akan memberi kesan terutama kepada mereka yang bekerja pada waktu malam.

“Sesetengah individu seperti pekerja-pekerja kilang yang tamat kerja pukul 12 tengah malam baru nak mencari makan, ini akan menyusahkan mereka, tambahan pula jika mereka bujang, ia tidak memadai untuk memasak sendiri pada lewat malam,” katanya.

Pemilik Restoran Cahaya Bulan Seafood, Saada Che Han, 43, yang menjalankan perniagaan sehingga 2.30 pagi berkata, waktu malam dan lewat malam memberi keuntungan buatnya dan cadangan itu hanya akan menjejaskan perniagaannya.

“Ada ketika saya mampu mendapat untung berlipat kali ganda apabila menjelang waktu lewat malam, lagi pun kedai saya mula beroperasi sudah lewat iaitu sekitar 4.30 petang,” katanya.

Seorang kakitangan awam, Nabilah Pauzi, 24, berharap kerajaan negeri mengkaji semula cadangan itu jika ia benar-benar bertujuan untuk mengurangkan gejala sosial.

“Sekarang kalau dilihat, gejala sosial boleh berlaku di mana sahaja, tidak semestinya aktiviti melepak di kedai makan sahaja yang boleh mengundang berlaku perkara tidak sihat,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dilapor berkata, kerajaan negeri akan mengehadkan operasi kedai makan, warung, atau restoran sehingga 12 tengah malam bermula tahun hadapan bagi mengekang gejala sosial.

Ahmad berkata, melalui satu kajian yang dikendalikan mendapati golongan belia sering keluar rumah untuk melepak di gerai dan kedai makan sehingga tengah malam menjadi antara punca masalah sosial.

– BERNAMA


Pengarang :