AGENDANASIONAL

Imigresen tahan pendatang guna kad UNCHR, MyRC palsu

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Bayar RM200 kepada ejen untuk mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan kad identiti khas MyRC palsu.

Itu adalah antara pengakuan pendatang tanpa izin yang disoal siasat selepas ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar kawasan pangsapuri di Klang pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sebanyak 149 rumah dan seramai 253 penghuni pangsapuri itu diperiksa dan hasilnya 177 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, dalam serbuan itu.

Beliau berkata 75 daripada mereka adalah rakyat Bangladesh; 50 Indonesia; 28 Myanmar; 12 India; empat Pakistan; masing-masing tiga orang rakyat Nepal dan Kemboja; serta dua warga Sri Lanka yang kesemuanya berusia antara 20-an hingga 50-an.

Mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Imigresen memaklumkan sejumlah 14,582 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari sehingga kini membabitkan 170,808 individu diperiksa dengan 43,476 pendatang tanpa izin pelbagai kewarganegaraan ditahan atas pelbagai kesalahan.

Turut ditahan ialah 1,086 majikan.

Tangkapan paling tinggi adalah warga Indonesia seramai 14,629 orang diikuti oleh Bangladesh seramai 9,450 orang; Myanmar (4,559); Filipina (3,445) dan bakinya adalah dari negara lain.

-BERNAMA


Pengarang :