Amirudin Shari berucap ketika Majlis Mesra Deepavali anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Little India, Klang pada 24 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sokong penuh kepimpinan PM sekarang dan akan datang

KLANG, 25 OKT: Kerajaan Selangor mendukung penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sokonga sama turut diberikan kepada pemimpin PAKATAN yang dipilih bagi menggantikan Dr Mahathir apabila tiba masanya.

“Pada ketika ini saya menyokong penuh Perdana Menteri Malaysia di bawah PAKATAN dan Perdana Menteri Malaysia PAKATAN pada masa akan datang.

“Tugas saya sebagai Menteri Besar memberikan sokongan penuh kepada Perdana Menteri di atas perancangan yang sudah dirangka.

“Tentang sepenggal penuh atau setengah penggal biarkanlah kepimpinan pusat putuskan untuk menentukan masa depan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Mesra Deepavali anjuran Majlis Perbandaran Klang 2019 di Jalan Tengku Kelana, di sini malam tadi.

Amirudin berkata, pada masa ini kerajaan lebih memerlukan kestabilan dan semua pihak harus fokus terhadap agenda perubahan yang digariskan.

Ketika menyentuh kritikan terbuka dilontarkan seorang Ahli Dewan Negeri dari DAP, Amirudin berkata kritikan itu tidak menjejaskan kerjasama antara parti komponen PAKATAN.

“Saya kira satu, dua pandangan berbeza itu tidak patut dianggap semangat keseluruhan PAKATAN. Kita masih kukuh, banyak tugas dan kerja perlu dilaksanakan.

“Saya percaya mungkin ada pandangannya atau kata-kata tertentu yang dianggap menyalahi semangat PAKATAN dan saya harap perkara itu dapat diselesaikan di meja rundingan berbanding kenyataan media,” katanya.


Pengarang :