Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2019 untuk perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Saksi: Isa tak minta kelulusan beli hotel daripada Lembaga Felda

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak meminta kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, 62, mengesahkan perkara itu kerana beliau yang merupakan bekas ALP Felda juga hadir pada mesyuarat tersebut.

“Tan Sri Isa merupakan Pengerusi Felda dan beliau juga mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda. Beliau (Isa Samad) terlibat dalam membuat keputusan dalam mesyuarat tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam: Adakah Pengerusi Felda (Isa) boleh tentukan sama ada kertas kerja (cadangan) boleh dibentangkan dalam mesyuarat (ALP Felda) atau tidak?

Hanapi: Boleh

Afzainizam: Adakah kamu akan bantah sekiranya Pengerusi Felda (Isa) tidak membenarkan kertas kerja dibentangkan di mesyuarat?

Hanapi: Bergantung kepada kertas kerja, kalau saya rasa perlu, saya akan bagi pandangan dan akhirnya Pengerusi Felda yang akan buat keputusan, saya akan akur.

Saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan Afzainizam bahawa mandat pelaburan RM100 juta yang diputuskan oleh Felda tidak pernah ditarik balik atau dimansuhkan.

Semasa pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi itu mengesahkan bahawa kelulusan pembelian hotel berkenaan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta hanya dibuat secara tersirat dan tiada keputusan secara bertulis di peringkat ALP Felda.

“Kertas kerja mengenai pembelian hotel itu mesti dibentangkan di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya apabila disoal Afzainizam berhubung pembelian hotel berkenaan yang melebihi mandat pelaburan RM100 juta.

Terdahulu, semasa disoal balas peguam Datuk Sallehudin Saidin, mewakili Mohd Isa, saksi itu bersetuju bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

Sallehudin: Jadi sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah FICSB membuat keputusan mengikut cara tersendiri?

Hanapi: Ya.

Semalam, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi mengesahkan salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda Bilangan 328 bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.

“Minit ini dicatat oleh Setiausaha Lembaga Felda, Erwan Aman dan tandantangani oleh Tan Sri Isa. Saya cam tandatangan Tan Sri Isa pada muka surat akhir minit ini.

“Dalam mesyuarat itu membincangkan tentang bayaran pendahuluan berjumlah RM100 juta kepada FICSB bagi membiayai projek hotel berkenaan serta cadangan kaedah bayaran kembali pendahuluan ini,” katanya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :