Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

India diminta tidak sekat import minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Isu minyak sawit Malaysia-India catat perkembangan baharu.

Di tengah-tengah gesaan oleh sebuah persatuan perdagangan India agar pengimport tidak mengimport minyak sawit dari Malaysia, sebuah badan politik di India Selatan menggesa kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi untuk tidak mengurangkan import minyak dari Malaysia.

Tamil Nadu Congress Committee (TNCC) berkata, sebarang pengurangan import minyak sawit dari Malaysia oleh India boleh menjejaskan pekerja asing dari negeri selatan India Tamil Nadu yang ketika ini bekerja di Malaysia.

Presiden TNCC K.S., Alagiri berkata, sekurang-kurangnya 500,000 pekerja dari Tamil Nadu bekerja dalam sektor Teknologi Maklumat dan restoran di Malaysia.

“Mereka juga menghantar hampir 90 peratus daripada gaji mereka kepada keluarga mereka yang tinggal di India,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi beliau menerusi laman twitternya @KS_Alagiri.

TNCC adalah sayap parti Indian National Congress di Tamil Nadu.

Menurut Bank Dunia, India mendahului senarai global penerima pengiriman wang dengan US$79 bilion (RM331 bilion) tahun lepas, terutamanya dari negara-negara Teluk. Malaysia menduduki tangga ke-20.

Selain itu, rakyat India Malaysia merupakan komuniti ketiga terbesar di Malaysia dan majoriti daripada mereka adalah keturunan Tamil yang nenek-moyangnya berasal dari Tamil Nadu.

Alagiri menjelaskan, langkah mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia juga akan memberi kesan kepada komuniti India Malaysia kerana ramai daripada mereka bekerja di ladang sawit dan getah di Malaysia.

“Justeru itu, parti Tamil Nadu Congress menggesa kerajaan Modi agar tidak mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia,” katanya.

India, pengimport minyak sayuran terbesar di dunia bergantung kepada Indonesia dan Malaysia bagi bekalan minyak sawitnya. Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai US$1.65 bilion (RM6.9 bilion) ke India pada 2018.

Pada Isnin lepas, kumpulan industri Solvent Extractors’ Association (SEA) of India, yang mewakili pengekstrak biji minyak menasihatkan ahli-ahlinya agar tidak membeli minyak sawit dari Malaysia susulan bantahan New Delhi terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung konflik Kashmir.

Kerajaan India pada 5 Ogos lalu membatalkan status autonomi undang-undang Kashmir dan mengenakan langkah-langkah keselamatan termasuk memotong internet dan perkhidmatan telefon bagi mengelakkan bantahan di wilayah tersebut.

Dr Mahathir, dalam ucapan beliau semasa Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-74 berkata, “meskipun resolusi PBB ke atas Jammu dan Kashmir, negara itu telah diserang dan diduduki”, dan menggesa India “untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan masalah ini”.

Menteri Hal Ehwal Luar India pada 4 Oktober membantah kenyataan Dr Mahathir mengenai Kashmir itu.

Bagaimanapun, setakat ini kerajaan India masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu minyak sawit itu.

– BERNAMA


Pengarang :