AGENDANASIONAL

Kastam rampas rokok tidak sah bernilai RM18 juta

DENGKIL, 3 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok bersetem palsu dan rokok seludup tidak sah bernilai RM18.13 juta dalam operasi Ops Tampal, di sekitar Lembah Klang yang bermula 22 September lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Paddy Abd Halim dalam sidang media di sini hari ini berkata rampasan itu membabitkan 23.5 juta batang rokok putih dan 56,400 batang rokok kretek, serta melibatkan 10 jenama rokok.

Menurutnya, rampasan rokok bersetem cukai palsu membabitkan 22 juta batang rokok putih dan 26,200 batang rokok kretek bernilai RM2.2 juta dan cukai sebanyak RM14.76 juta.

Ops Tampal itu juga berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok tidak sah melibatkan tangkapan enam orang dan rampasan sebanyak 1.5 juta batang rokok putih dan 30,200 batang rokok kretek dengan anggaran nilai RM153,000 dan cukai terlibat sebanyak RM1.02 juta, katanya.

“Operasi melumpuhkan aktiviti penjualan rokok bersetem cukai palsu adalah antara terbesar bagi JKDM dan siasatan kini turut menumpu kepada sumber bagi mendapatkan setem cukai palsu, sama ada menerusi pihak dalam atau luar negara,” katanya.

Paddy berkata, orang ramai harus peka dengan penjualan rokok tidak sah, jika mendapati ia dijual pada harga bawah RM10 sekotak dan ia adalah cara mudah untuk mengetahui ketulenan setem cukai.

“Rokok dengan setem cukai palsu dan seludup dipercayai dijual dalam harga lebih kurang RM5. Orang ramai yang membeli rokok dari penjual pada harga kurang RM10 dengan setem, besar kemungkinan ia adalah setem palsu,” katanya.

JKDM turut meminta kerjasama peniaga runcit supaya tidak berurusan dengan mana-mana pihak yang menjual rokok di bawah RM10, untuk bersama-sama memerangi aktiviti penjualan rokok bersetem cukai palsu dan penyeludupan rokok tidak sah, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :