Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) bercakap pada sidang media Kempen Beli Barangan Malaysia dalam talian bersama pengendali platform e-dagang Shopee pada 3 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan bekerjasama peneraju e-dagang promosi produk tempatan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan peneraju industri e-dagang bagi mempromosikan produk tempatan melalui kempen Beli Malaysia, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut menteri itu, kempen yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998, bertujuan untuk mendidik para pengguna mengenai kepelbagaian produk buatan Malaysia yang berkualiti termasuk menggalakkan mereka untuk berasa bangga dengan hasil kerja rakan senegara mereka.

“Malangnya, sejak beberapa lama, wawasan ini telah diketepikan dan dilupakan oleh pemimpin terdahulu dan sudah sampai masa kita menyalakan semula kempen ini bagi meletakkan perusahaan tempatan kita kembali di landasan yang betul. Tetapi kita tidak boleh melakukan hal ini dengan sendiri; kita memerlukan sokongan sektor swasta untuk mendorong agenda kebangsaan ini ke hadapan.

“Oleh itu, kami telah meningkatkan usaha dan memulakan beberapa inisiatif baharu, termasuk bekerjasama dengan peneraju e-dagang seperti Shopee, untuk menyediakan usahawan tempatan dengan platform bagi tujuan menjual dan mendedahkan produk mereka, keutamaan, penjenamaan serta sokongan pemasaran daripada syarikat yang terkemuka di dunia,” katanya semasa berucap pada pelancaran Festival Jenama Shopee 10.10 di sini, semalam.

Industri e-dagang semakin berkembang pesat di seluruh dunia dan ini memberikan peluang yang besar kepada pengguna dan usahawan.

“Pertumbuhan pesat Shopee adalah bukti kepada fakta ini. Setelah memasuki pasaran pada 2015, Shopee mempunyai lebih 200 juta pengguna di rantau ASEAN dan Taiwan serta 20 juta pengguna di Malaysia,” katanya lagi.

Shopee juga berhasrat untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) mengembangkan pasaran mereka bermula dengan pasaran di Singapura melalui bantuan Platform Antarabangsa Shopee.

“Ini akan menjadi pengubah utama kepada usahawan Malaysia kerana mereka kini mempunyai peluang untuk menembusi pasaran eksport. Kementerian saya akan bekerjasama lumus dengan Shopee bagi mengenal pasti masalah dan bertemu dengan PKS Malaysia yang masih tidak menjual produk mereka secara dalam talian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :