Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan di landasan tepat pulihkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kerajaan berada di landasan yang tepat untuk meletakkan semula negara di landasan fiskal dan memulihkan ekonomi seperti digariskan dalam pelan hala tuju kewangan tiga tahun meskipun wujud ketidaktentuan berpanjangan berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang telah menyebabkan rantaian bekalan global terorientasi secara kekal.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan berada di landasan untuk mencapai sasaran defisit 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Beliau berkata, sasaran fiskal itu disemak semula kepada 3.2 peratus daripada KDNK pada 2020 berbanding 3.0 peratus yang disasarkan sebelum ini, namun ia kekal di landasan untuk mencapai 2.8 peratus dalam jangka sederhana.

“Kenaikan daripada 3.0 peratus kepada 3.2 peratus mungkin tidak besar, namun perlu ingat apabila melibatkan perbelanjaan, ia bukan hanya mengenai berapa yang dibelanjakan malah menyentuh juga berbelanja untuk apa,” katanya ketika berucap di Forum Belanjawan 2020, di sini, hari ini.

Pelan hala tuju ekonomi tersebut, yang diumumkan Kementerian Kewangan pada September tahun lepas, bermatlamat meletakkan Malaysia di laluan ke arah pertumbuhan mampan dengan disiplin fiskal, belanjawan berhemat, kestabilan monetari dan inflasi rendah walaupun menghadapi cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata, banyak langkah yang dicadangkan dalam Belanjawan 2020 bukan hanya akan menyokong pertumbuhan dalam jangka pendek, malah menetapkan asas keperluan untuk Malaysia berubah secara berstruktur bagi dekad akan datang.

Langkah tersebut juga menepati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan baru-baru ini yang memerlukan penciptaan kemakmuran sebelum dikongsikan kemudian, katanya.

“Pemberian insentif kepada perniagaan dan menarik pelaburan asing menerusi insentif bernilai RM10 bilion selama 10 tahun, serta program pewujudan pekerjaan bernilai RM6.5 bilion bagi mewujudkan 350,000 pekerjaan, akan menawarkan semula pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Malaysia.

“Belanjawan 2020 yang saya bentangkan Jumaat lepas juga menggariskan hala tuju dasar yang akan diambil kerajaan ini. Mesej saya ringkas sahaja iaitu Malaysia sedang menjalani pemodenan semula menerusi pendigitalan ekonomi, melalui penyepaduan dengan rantaian bekalan global yang lebih baik serta menyediakan insentif kerja,” katanya.

Lim berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan swasta dalam bidang bernilai tinggi yang boleh mengorak pertumbuhan pengeluaran lebih besar.

Beliau berkata, ini bertepatan dengan rasional di sebalik teras pertama Belanjawan 2020, yang bertujuan menarik pelaburan multinasional berkualiti tinggi daripada syarikat ‘global unicorns’ dan Fortune 500, dengan insentif bernilai RM5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Pelaburan langsung asing ini boleh mewujudkan 150,000 pekerjaan berkualiti tinggi, sekali gus memperkayakan rantaian bekalan Malaysia dengan menjadikannya lebih sofisikated untuk menjalankan pengeluaran barangan dan perkhidmatanh bernilai tinggi, katanya.

“Pada masa sama, kita juga menaik taraf syarikat Malaysia yang paling berpotensi cerah untuk menjadi juara serantau dan global dalam eksport menerusi insentif bernilai RM5 bilion selama lima tahun. Syarikat tempatan ini akan berupaya mengembangkan pasaran eksport mereka di samping mewujudkan 100,000 pekerjaan di peringkat tempatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :