AGENSISELANGOR

Belanjawan 2020 mesra wanita

SHAH ALAM, 14 OKT: Belanjawan 2020 disifatkan mesra kepada golongan wanita memandangkan peruntukan kali ini memberi lebih tumpuan ke arah pembangunan wanita, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya Selangor, Siti Kamariah Ahmad Subki.

Katanya, ia menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan sangat menitikberatkan peranan dan sumbangan wanita dalam memastikan kemakmuran bersama untuk pembangunan negara.

“Kajian terkini Bank Dunia mendapati penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dapat meningkatkan pendapatan per kapita negara sebanyak 26.2 peratus.

“Justeru, diharapkan usaha kerajaan akan dapat meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita daripada 55.8 peratus kepada 65 peratus.

“Ia sekali gus setanding dengan purata negara maju dan dapat meletakkan Malaysia di landasan yang betul ke arah pembangunan mampan lagi inklusif,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Siti Kamariah berkata, beliau gembira apabila sebanyak 17 kali pengulangan perkataan wanita disebut ketika Belanjawan 2020 sekali gus menunjukkan perkembangan positif dan inklusif dalam belanjawan kali ini.

“Sebagai sebuah institusi badan pemikir yang ditubuhkan oleh Kerajaan Selangor untuk merangka polisi dan strategi pemberdayaan dan kemajuan wanita, ia dilihat satu perkembangan positif terhadap negeri ini dan Malaysia umumnya,” katanya.

Antara senarai pengumuman penting buat wanita dalam Belanjawan 2020 ialah peruntukan RM200 juta dikhususkan untuk usahawan wanita selain insentif khas serta pengecualian cukai buat wanita berusia 30-50 tahun yang kembali bekerja.

Turut diumumkan ialah peningkatan peruntukan RM30 juta untuk pembinaan taska di hospital dan sekolah bagi menambah baik persekitaran kerja ibu bapa.

Belanjawan 2020 juga mewujudkan kategori pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sehingga RM10,000 serta mendapat pelepasan cukai RM6,000.

Kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita, I-Suri membenarkan caruman dua peratus daripada suami ke akaun isteri dan kajian semula Akta Kerja 1955 bagi tempoh cuti bersalin 60 hari ke 90 hari .


Pengarang :