BERITA UTAMASELANGOR

MB sarankan generasi muda bina ‘soft power’

KLANG, 18 OKT: Generasi muda perlu membina ‘soft power’ (kuasa melalui bakat dan keperibadian) masing-masing untuk membantu pembentukan masyarakat yang baik pada masa akan datang kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, jika ‘soft power’ digunakan dengan betul, individu itu mungkin boleh menjadi pengaruh kepada masyarakat dan dunia satu hari nanti.

“Dalam kehidupan, tidak semuanya ditentukan oleh politik kerana kadang kala kuasa lain seperti ‘soft power’ juga boleh mempengaruhi masyarakat dan dunia.

“Di Malaysia misalnya, ‘soft power’ Datuk Siti Nurhaliza memeriahkan lagi industri seni negara, manakala di luar negara industri perfileman Bollywood mampu meluaskan pasaranya di Jerman dan serata dunia.

Kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Negeri, Khairuddin Othman ketika Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Kem Wawasan Negara Meru pada 18 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pada hari ini muncul pula artis K-Pop seperti BTS hingga terkenal di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 150 peserta program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan Malaysia Kohort 11 di Kem Wawasan Negara Meru, Kampung Bukit Cherakah di sini, hari ini.

Amirudin berkata, selain industri hiburan ‘soft power’ turut memainkan peranan besar dalam bidang lain antaranya, fesyen, ekonomi, kewartawanan dan sukan.

Katanya, soft power turut datang dalam aspek kebudayaan, kehidupan dan lain-lain.

Ketika menyentuh latihan membabitkan lebih 300 remaja di kem terbabit, Amirudin berharap supaya latihan yang diberikan mampu melahirkan pemimpin dan individu cemerlang.

Kem kepimpinan 10 hari ini melibatkan pelbagai aktiviti dalaman dan luaran yang mencabar fizikal dan mental peserta.

Antara aktiviti menarik dijalankan, teknik kelangsungan hidup secara berkumpulan dan berseorang di dalam hutan serta membina rakit di tasik.


Pengarang :