Khalid Abdul Samad dan Dato’ Haris Kasim pada majlis perasmian Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2019 pada 20 Oktober 2019.
PBTSELANGOR

MBSA didik komuniti indahkan landskap

SHAH ALAM, 21 OKT: Bagi mendidik komuniti menghargai suasana hijau dan keindahan landskap, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2019 yang berlangsung dari 17 hingga 20 Oktober lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, komitmen berterusan itu turut menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara khususnya buat peminat bunga dan tanaman hiasan.

“Melalui program seumpama ini, orang ramai secara tidak langsung dapat mengenali pelbagai jenis bunga mengikut spesies serta menggalakkan sikap cintakan alam sekitar.

“Ia juga merupakan platform pihak MBSA untuk memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya untuk menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Hadir merasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Datuk Bandar MBSA, Dato’ Haris Kasim.

Shahrin berkata, Pasar Bunga itu membabitkan penyertaan sebanyak 46 gerai yang menjual pelbagai jenis produk pertanian dan nurseri.

Antara jenis pokok bunga ialah Annual, Anggerik, Bougainvilla dan bunga ros manakala hasil kebun seperti sayur-sayuran dari ladang komuniti, buah-buahan dan produk herba.

Selain itu, turut menarik perhatian ialah tanaman Terrarium Cactus dan pelbagai jenis tumbuhan berkhasiat serta bermanfaat untuk kesihatan.

Pengisian aktiviti lain turut diadakan pertandingan Anggerik individu, Pameran dan Bengkel Anggerik, Pameran Setem Anggerik, Pertandingan Melukis Canvas dan Mewarna Kanak-Kanak.

Turut dimeriahkan dengan demonstrasi Gubahan Bunga Segar, Demo Mencanting Batik dan Pusat Kraftangan Negara, dan Kolam Memancing Kanak-Kanak selain mini zoo.


Pengarang :