AGENDANASIONAL

PAKATAN yakin peluang menang PRK Tanjung Piai

MUAR, 10 OKT: Meskipun menerima banyak kritikan, Pakatan Harapan (PAKATAN) yakin dengan peluangnya untuk memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu nanti, hasil kerjasama semua parti di bawahnya.

Pengarah Jentera PAKATAN bagi PRK itu, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, setiap kritikan itu adalah biasa malah telah menjadi asam garam dalam berpolitik.

“Di dalam sesuatu perjuangan kita mesti yakin bahawa kita mesti menang. Jadi sebarang kritikan itu biasa. Itulah asam garam kita berpolitik tapi saya yakin dengan sokongan semua, kita akan dapat bersatu dan bekerjasama untuk memastikan PH menang,” katanya.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengisytiharan Penyiapan Platform Tanah Industri Pertama Muar Furniture Park di Bakri, di sini, hari ini, semasa ditanya mengenai kritikan-kritikan yang diterima sepanjang memimpin jentera PH bagi kempen PRK kali ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat komplikasi jantung.

– BERNAMA


Pengarang :