Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2019 untuk perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Pendakwaan akan buktikan Isa terima rasuah lebih RM3 juta

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah menerima rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh (Mohd Isa) menerima rasuah itu daripada Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel melalui Muhammad Zahid Md Arip iaitu pegawai khas tertuduh.

“Suapan sebanyak RM500,000, RM500,000, RM300,000, RM500,000 dan RM500,000 telah diserahkan oleh Ikhwan kepada tertuduh (Mohd Isa) melalui Muhammad Zahid,” katanya semasa membacakan penyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Mohd Isa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan tertuduh telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk mendapatkan suapan daripada Ikhwan sebagai upah kepada tertuduh yang telah membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh pihak FICSB.

Beliau berkata di dalam membuktikan kes terhadap Mohd Isa, pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumentari bagi menunjukkan bahawa kesemua kesalahan tersebut telah dilakukan oleh bekas pengerusi Felda itu.

Berhubung pertuduhan menerima suapan itu, Afzainizam berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh menerima suapan RM100,000 yang merupakan ‘advance’ daripada Ikhwan melalui Muhammad Zahid.

Beliau berkata, pendakwaan akan menunjukkan bukti bahawa tertuduh telah menandatangani Surat Hantaran Telegraf bertarikh 30 Jun 2014 untuk mengarahkan pihak Maybank Cawangan Jalan Maktab untuk membuat pembayaran RM16 juta iaitu bayaran 10 peratus daripada nilai pengambilalihan MPHS kepada Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd pada 1 Julai 2014.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan selepas Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd menerima bayaran berjumlah RM16 juta daripada FICSB, pada 10 Julai 2014 syarikat tersebut telah membayar komisyen RM1 juta kepada Syarikat JV Evolution Sdn Bhd, ejen yang dilantik oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Seterusnya, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa Ikhwan telah mengarahkan Syarikat JV Evolution Sdn Bhd untuk mengeluarkan wang untuk diberikan kepadanya yang mana suapan RM140,000 telah diserahkan kepada tertuduh melalui Muhammad Zahid.

“Pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa selepas bayaran kedua berjumlah RM43,126,938.77 dibayar oleh FICSB kepada JANG Assets Networking Group Ltd melalui Tetuan Mohamed Ridza & Co pada 25 September 2014 di bawah Perjanjian Jual Beli MPHS itu, tetuduh telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk mendapatkan suapan daripada Ikhwan,” katanya.

Afzainizam berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa pada 16 Oktober 2014 Syarikat Gegasan Abadi telah membayar komisyen kedua berjumlah RM2,695,433 kepada Syarikat JV Evolution Sdn Bhd, ejen yang dilantik oleh Syarikat Gegasan Abadi.

“Pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa Ikhwan telah mengarahkan Syarikat JV Evolution mengeluarkan wang untuk diberikan kepadanya (Ikhwan). Suapan sebanyak RM300,000 dan RM250,000 telah diserahkan kepada Ikhwan dan kepada tertuduh melalui Muhammad Zahid,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan juga akan menunjukkan bukti bahawa selepas suapan tersebut diberikan kepada tertuduh, Syarikat Gegasan Abadi tidak menerima baki bayaran lebih kurang sejumlah RM100 juta yang perlu dibayar di bawah Perjanjian Jual Beli MPHS daripada FICSB.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa pada Mei 2015, tertuduh telah mengarahkan Datuk Hanapi Suhada, Pengarah Besar Felda untuk menyegerakan bayaran berjumlah RM1 juta bagi membolehkan FICSB membuat bayaran kepada Syarikat Gegasan.

“Pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan selepas Syarikat Gegasan Abadi menerima bayaran RM1 juta daripada FICSB pada 29 Mei 2015, syarikat berkenaan telah membayar komisyen ketiga RM6,304,567 kepada Syarikat JV Evolution pada 16 Jun 2015,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa, 70, didakwa melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :