BUDAYARENCANA

Realisme magis dalam pencerekaan Azrin Fauzi

Oleh Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Ranah kesusasteraan tanah air pada abad ke-21  sewajarnya memberikan peluang dalam memetakan karya penulis-penulis muda tanpa menafikan karya pengarang sebelumnya dan meraikannya dengan suasana tulus keadilan. Penulis-penulis muda yang berpotensi seharusnya diberikan perhatian dan perjalanan penciptaan kepengarangan mereka sewajarnya diteliti dalam pembangunan masa hadapan kesusasteraan tanah air.

Sehubungan itu, kosmos seorang pengarang muda bernama Azrin Fauzi yang dilihat agak aneh di samping mengiurkan perlu direnung-teliti tanpa diskriminasi. Cerpen-cerpen Azrin yang disiarkan dalam akhbar Selangor Kini seperti “Rfingk! Rfingk! Rfingk!” “Anganbayangan” dan “Ceritanah” yang diangkat sebagai hadiah utama kategori cerpen Hadiah Sastera Selangor 2017 menjadi pilihan untuk diselongkar dengan menggunakan penggerek realisme magis.

Franz Roh yang mula-mula memperkata tentang realisme magis pada 1925 setelah menemukannya dalam lukisan-lukisan miliknya. Roh menghasilkan lukisan bersumberkan realiti, lalu mengabungjalinkannya dengan perihal fantasi, sehinggakan kedua-duanya tampak sebagai sebuah kemenjadian yang kukuh. Roh melalui seni lukisannya mencantumkan lukisan realisme dengan lukisan surelisme, lalu menghasilkan lukisan yang bercitra realisme magis (Rahimah A. Hamid, 2017).

Selanjutnya, pendekatan ini dikembangkan oleh Alejo Carpentier pada 1949 yang melihat realisme magis dari perspektif dunia penulisan. Pendekatan realisme magis yang dibawa oleh Roh dan Carpentier seterusnya diperkemas sebagai sebuah teori oleh Wendy B. Faris pada 1995 melalui dua naskhahnya iaitu Magical Realisme: Theory, History, Community (1995) dan Ordinary Enhantments: Magical Realisme and the Remystification of Narrative (2004).

 Konsep pertama dalam memperkata realisme magis ialah the irreducible element. Konsep ini menjelaskan realisme magis meraikan elemen yang tidak mampu diterjemahkan sama ada melalui hukum akal ataupun lumrah kejadian alam semesta. Menerusi cerpen “Rfingk! Rfingk! Rfingk!” Azrin menghadirkan suasana aneh yang tidak dapat diterima akal apabila watak utama dalam cerpen itu dihantui bunyi yang tidak diketahui dari mana puncanya. Petikan berikut dicuplik daripada cerpen “Rfink! Rfingk! Rfingk!” bagi memperjelaskan konsep the irreducible element;

Engkau bingkas bangkit. Dengan dengusan kecil, engkau nekad mahu buru bunyi itu. Derap langkah laju ke dapur. Habis engkau punggah segala laci, kabinet, peti sejuk dan entah apa-apa lagi. Tetapi bunyi itu licik bersembunyi. Engkau langsung tidak menemui puncanya. Dan lebih membingungkan, bilah-bilah pisau engkau di dapur juga tiada. Habis hilang kesemuanya!

Watak utama dalam cerpen ini berusaha menjejak bunyi yang menghantuinya tetapi tidak ditemukan. Anehnya, watak utama tidak menemui puncanya sedangkan ruang lingkup bunyi itu kedengaran di dalam rumahnya dan dikhususkan pada ruang dapur.

Realisme Magis turut menyenaraikan konsep the phenomenal world yang memperlihat dunia yang luar biasa, yang menghubungkan realiti dan fantasi tanpa sempadan, lalu menebarkan aura keanehan. Menerusi cerpen “Anganbayangan”, Azrin memperlihatkan keterpisahan antara jasad manusia dengan bayang-bayangnya. Pengolahan cereka ini yang menyantuni konsep the phenomenal world seperti petikan berikut;

Dan aku ingin buat pengakuan: aku turut terpisah daripada tubuhku sewaktu ia lari meninggalkanku dahulu kerana terkejut – dan terlalu takut – oleh gempita dari gua yang maha dahsyat ini. (Jikalau engkau terserempak dengan sesiapa yang tidak berbayang, berjalan di sekitar kota di dada Pulau Szago itu, atau di mana-mana, ketahuilah ia tubuhku. Bisiklah ke telinganya: Bayang-bayangmu amat merinduimu.)

Apabila berdiri di tanah realiti, mustahil bayang-bayang boleh dipisahkan dengan objek yang maujud termasuklah bayang-bayang manusia. Apabila sesuatu objek menahan sinar cahaya, maka terbentuklah sesuatu yang gelap yang digelar bayang-bayang. Azrin mengungkap konsep the phenomenal world apabila menumpahkan fantasi dalam cerpennya dengan memberikan kehidupan kepada bayang-bayang, malah mampu berjarak jauh (berpisah) daripada jasadnya.

Konsep seterusnya yang dianjurkan realisme magis ialah unsettling doubts. Unsettling Doubts membawa kepada pemahaman terhadap keraguan yang tidak terjawab. Keraguan ini sangat bergantung kepada pemahaman pembaca terhadap budayanya bagi membolehkannya menerima keraguan itu tanpa sangsi. Perhatikan petikan daripada cerpen “Ceritanah” yang boleh dihubungkaitkan dengan budaya dalam masyarakat kita;

Ibu melaung-panggil kami naik-masuk ke dalam (sebelum marahamun kerana kami kotor bolor dengan tanah). Dari atas katil di ruang tamu, tok wan ingatkan kami agar jangan main lagi senja-senja begini, nanti kena sorok.

Azrin mempertemu kita dengan larangan terhadap kanak-kanak daripada keluar bermain pada waktu senja dan implikasi yang dimasyhurkan dalam masyarakat jika melanggari larangan ini ialah disembunyikan hantu atau makhluk ghaib. Pastinya yang dikaitkan dengan segala macam perkara ghaib adalah sesuatu yang sukar untuk memperoleh jawapannya dalam setiap keraguan yang tumbuh di minda. Bagaimanapun, keraguan ini menemui peleraian dalam masyarakat apabila budaya yang terbentuk dalam masyarakat sudah terlalu lama diwarisi serta menjadi sebati dalam masyarakat. Melalui makalah berjudul “Cerita Hantu Transfrormasi Lisan ke Audio”, Wan Hasmah Wan Teh memperinci cerita hantu diungkapkan sebagai menghormati waktu tertentu dalam peredaran masa seharian. Hakikatnya, perkalihan waktu daripada petang ke malam ini, seelok-eloknya digunakan untuk membersihkan diri dan bersiap sedia menunaikan kewajipan solat Maghrib.

Contoh petikan di atas senada dengan konsep yang seterusnya apabila Wendy B. Faris juga menggariskan merging realms sebagai salah satu kriteria dalam menilai realisme magis. Konsep ini menjelaskan wujudnya percantuman yang akrab antara alam nyata dengan alam ghaib. Secara tidak langsung, Azrin juga tidak terlepas dalam mengungkapkan alam nyata dan alam ghaib dalam cerpen “Ceritanah”.

Seterusnya, bagi melengkapkan unsur yang mendukung realisme magis, konsep yang terakhir ialah disruptions of time, space and identity yang secara jelasnya memerihalkan berlakunya gangguan terhadap masa, ruang dan juga identiti dalam karya fiksyen. Konsep ini boleh ditemukan dalam cerpen “Rfingk! Rfingk! Rfingk!” tulisan Azrin seperti petikan berikut:

Dan perlahan-lahan bunyi itu masuk terserap ke dalam hitam pandangan. Seolah berada di dalam ‘ruang tidak berpenghujung di dalam dimensi tidak diketahui’. Telinga engkau cuba bermesra dengan bunyi yang tidak habis mengerfingk-ngerfingk itu. Dan bunyi itu bersipongang di dalam ruang gelap pandangan pula.

Sehinggalah engkau mampu mendengar bunyi bumi berputar.

Secara jelasnya, petikan di atas memperlihat tiadanya kesempadanan dalam ruang yang diciptakan. Bunyi yang menganggu watak utama digambarkan seolah-olah berada di dalam sebuah ruang yang tidak berpenghujung. Kecelaruan ruang seterusnya dibangkitkan dengan kenyataan terhadap ayat seterusnya apabila pengarang menyatakan bunyi bumi yang berputar juga mampu untuk didengari.

Tuntasnya, melalui cerpen-cerpen yang diamati, Azrin telah menghidupkan karya fiksyennya dengan elemen-elemen realisme magis seperti yang pernah dikemukakan Wendy B. Faris. Ruang lingkup realiti diperluas-lebarkan sehingga menjangkau keterbatasan penaakulan logik, lalu menghadirkan keanehan dalam karya-karyanya. Secara tidak langsung, stail penyampaian yang diungkapkan menerusi cerpen-cerpennya mencerminkan sisi kepengarangan seorang Azrin Fauzi.


Pengarang :