Zulkifly Garib (tengah) bersama Ahli Jawatankuasa REHDA Selangor selepas sidang media Ekspo Kempen Pemilikan Kediaman – Ekspo Hartanah Malaysia (HOC-MAPEX) 2019 di Wisma REHDA, Kelana Jaya pada 30 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

REHDA sasar 15,000 pengunjung Ekspo Kempen Pemilikan Kediaman

PETALING JAYA, 30 OKT: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Selangor menyasarkan seramai 15,000 pengunjung hadir di dua Ekspo Kempen Pemilikan Kediaman – Ekspo Hartanah & Perumahan Malaysia (HOC-MAPEX) 2019 pada November ini.

Pengerusinya, Zulkifly Garib berkata, dua ekspo itu adalah HOC-MAPEX Ampang / Selayang berlangsung di Melawati Mall, Hulu Kelang pada 1 hingga 3 November dan HOC-MAPEX Shah Alam / Klang diadakan di I-City Malll, Shah Alam pada 14 hingga 17 November.

“Sejak pengumunan HOC oleh Kementerian Kewangan ketika pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu dan sebelum dilancarkan Perdana Menteri pada Mac lalu, momentum jualan hartanah yang layak menerima insentif begitu menggalakkan.

“Kempen ini akan berakhir 31 Disember dan ini adalah masa terbaik untuk REHDA Selangor anjurkan pameran,” katanya dalam sidang media sempena penganjuran HOC-MAPEX 2019 di sini, hari ini.

Zulkifly Garib (tengah) dan Timbalan Pengerusi REHDA Selangor, Datuk Ho Hon Sang (kiri) ketika sidang media Ekspo Kempen Pemilikan Kediaman – Ekspo Hartanah Malaysia (HOC-MAPEX) 2019 di Wisma REHDA, Kelana Jaya pada 30 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Zulkifly berkata, dua ekspo itu menyasarkan pembeli kediaman di koridor timur dan koridor barat Selangor.

“HOC-MAPEX Ampang / Selayang akan disertai pemaju seperti SP Setia Berhad, Platinum Victory Holdings Sdn Bhd, OSK Property, Mitraland Group dan Symphony Life Berhad.

“Manalala HOC-MAPEX Shah Alam / Klang pula membabitkan Symphony Union Suites Sdn Bhd, Glomac Berhad, Amverton Berhad, Sunsuria Berhad, SP Setia Berhad Group, Putrajaya Holdings dan Ecoworld,” katanya.

Lebih menarik lagi, katanya, anak syarikat Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor turut sama menyertai ekspo berkenaan.

Ekspo itu akan dihadiri EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha di majlis perasmiannya pada 15 November nanti.


Pengarang :