Zulkifly Garib ketika sidang media Ekspo Kempen Pemilikan Kediaman – Ekspo Hartanah & Perumahan Malaysia (HOC-MAPEX) 2019 di Wisma REHDA, Kelana Jaya pada 30 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor catat jualan tertinggi Kempen Pemilikan Kediaman

PETALING JAYA, 30 OKT: Selangor mencatat jualan tertinggi dalam Kempen Pemilikan Kediaman (HOC) yang diumumkan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2019 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) cawangan Selangor, Zulkifly Garib berkata, di Selangor menyaksikan lebih 11,000 unit kediaman bernilai kira-kira RM7 bilion berjaya dijual sejak kempen itu dilancarkan pada Mac lalu.

“Kami jangka angka sebenar kediaman terjual di Selangor lebih tinggi apabila terdapat pemaju yang tidak ikut serta kempen ini.

“Antara kelebihan kempen ini kepada pembeli, ianya menawarkan pelbagai insentif oleh kerajaan dan harga tawaran lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Penganjuran HOC- Ekspo Hartanah Malaysia 2019 di Wisma REHDA, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifly berkata, dasar Kerajaan Pusat menurunkan nilai ambang bagi pemilikan warga asing kepada RM600,000 tidak memberi kesan signifikan kepada pasaran hartanah negara.

“Ini disebabkan hanya Pulau Pinang sahaja menurunkan nilai ambang kediaman strata untuk pemilikan asing kepada RM800,000 berbanding RM1 juta sebelum ini.

“Manakala Selangor masih mengekalkan nilai ambang RM2 juta bagi kediaman strata sahaja untuk pemilikan asing,” katanya.


Pengarang :