Kes penceraian membabitkan pasangan beragama Islam semakin membimbangkan di Selangor sejak 2019. Trend itu menurun tahun ini berikutan kes tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

`Remaja Malaysia macam tidak sabar mahu kahwin’

SHAH ALAM, 20 OKT: Ibu-bapa digesa menasihati anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan trend perkahwinan bawah umur yang sering berlaku di negara ini, kata aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

Katanya, ibu-bapa atau keluarga terdekat perlu mendedahkan kepada anak-anak mereka mengenai peluang pendidikan, kerjaya dan masa depan yang lebih baik buat mereka berbanding dengan berkahwin pada usia remaja.

“Kita bukannya menghalang perkahwinan tetapi ada antara kanak-kanak yang berkahwin awal ini mempunyai tempoh hayat perkahwinan yang amat pendek. Perkara ini sudah terbukti melalui statistik-statistik yang diperoleh daripada jabatan agama,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, trend berkahwin bawah umur, sudah tentu mencetuskan kebimbangan kerana pelbagai masalah lain bakal timbul jika perkahwinan itu tidak kekal.

“Berasaskan perkara ini, ibu-bapa perlu mendidik anak-anak mengenai isu ini iaitu tidak kahwin pada usia yang belum sepatutnya,” katanya.

Terdahulu Syed Azmi dijemput menjadi ahli panel forum bertajuk Perkahwinan Kanak-Kanak Di Negara ini anjuran Girl2Leader Malaysia di Kuala Lumpur.

Syed Azmi yang popular melalui laman media sosial kerap berkongsi kisah mengenai kanak-kanak terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

Mengulas lanjut, Syed Azmi berkata, trend perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berbeza dengan kanak-kanak di negara-negara lain.

“Di Malaysia, remaja bawah umur ini dilihat tidak sabar-sabar jika menyebut perkataan kahwin yang mana ia berbeza dengan situasi di luar negara kebanyakan mereka kahwin kerana dipaksa.

“Remaja di Malaysia seolah-olah seronok untuk kahwin mungkin atas faktor sekeliling,” katanya.

Di bawah undang-undang negara ini, remaja berumur 15 tahun dan ke bawah boleh berkahwin dengan syarat memohon kebenaran mahkamah.


Pengarang :