AGENSISELANGOR

#Selangor2020: MSNS harap perhatian khusus pembangunan sukan

SHAH ALAM, 17 OKT: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berharap Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada 1 November ini turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan dan infrastruktur sukan di negeri itu.

Pengarah Eksekutifnya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, ini kerana pihaknya memerlukan peruntukan tambahan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan di Johor tahun hadapan.

“Selangor sudah bersedia menyertai SUKMA 2020, jadi kita mengharapkan peruntukan khusus untuk atlet dan MSNS bagi menghadapi temasya SUKMA.

“Selain itu, kita mengharapkan ia lebih bagi membolehkan atlet terbaik supaya mereka lebih bersedia untuk ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Adi Faizal berkata, terdapat 24 teras sukan di negeri itu yang menyumbang pelbagai pingat antaranya bowling padang, bola sepak dan e-sukan.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi pembangunan dan penganjuran e-sukan.

Sebanyak RM12 juta juga diberi untuk tahun ini bagi pembangunan sukan Bola Sepak Selangor.

Pembentangan langsung Dato’ Menteri Besar pada petang Jumaat itu boleh dilayari menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my.

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan ini menggunakan tanda pagar #Selangor2020.

Perkembangan lanjut berhubung belanjawan ini dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui berita di dua portal ini dan juga media sosial rasmi Media Selangor.

Difahamkan, belanjawan negeri kali ini akan memberi tumpuan antaranya kepada pendidikan, keselamatan, belia dan memajukan lagi aspirasi Negeri Pintar, Smart Selangor.


Pengarang :