Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SPRM: Nasharudin bakal didakwa esok isu wang RM90 juta

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan akan mendakwa bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan petang ini, SPRM mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menuduh Nasharudin pada jam 9 pagi esok.

“Nasharudin bakal menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengesahkan sudah menahan Nasharudin pada jam 2 petang ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut kenyataan itu, kesemua maklumat berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan.

-BERNAMA


Pengarang :