AGENDANASIONAL

Tindakan Teck Ghee tidak bermaruah

SHAH ALAM, 26 OKT: Tindakan penganalisis dasar awam, Dr Lim Teck Ghee menyifatkan Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai bencana tidak terkawal, dianggap sebagai tindakan tidak bermaruah.

Ketua Wanita PAKATAN, Zuraida Kamarudin berkata, kenyataan berkenaan dibuat tanpa mempertimbangkan hakikat bahawa kerajaan baharu sahaja mengambil tampuk pemerintahan selama lebih kurang setahun lima bulan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sejak diberikan amanah, beliau dan rakan menteri bekerja kuat tanpa mengenal erti lelah demi matlamat mahu memulihkan negara.

“Sejak PAKATAN diberikan mandat oleh rakyat untuk memperbaiki dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah kembali, pelbagai usaha sudah dilakukan.

“Hakikatnya, ia bukanlah tugas mudah yang boleh dilakukan dalam sekelip mata,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai membidas dakwaan Teck Ghee bahawa kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin berkembang luas.

Bercakap dalam forum ‘Whiter Maruah Malaysia 2.0’, Teck dilaporkan berkata, buat masa ini adalah jelas pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai bencana dan satu bencana sepenuhnya bagi pembaharuan dari mana-mana aspek atau cara pun umum melihat.

“Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan serta kegagalan politik terus meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, berbanding dengan kerosakan dibuat pentadbiran dahulu, adalah tidak wajar seorang penganalisis dasar awam mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang kajian kukuh, menjadikan pandangannya tidak boleh diguna pakai.

“Di bawah pentadbiran PAKATAN, kerajaan Persekutuan sudah memberi jaminan bahawa keharmonian dan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terus terbela, tanpa mengabaikan kedudukan kaum lain di seluruh negara,” katanya.


Pengarang :