Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ambil RM600,000 dalam van, dua pengawal dipenjara, sebat

RAUB, 22 NOV: Tindakan dua pengawal syarikat keselamatan yang pecah amanah dengan mengambil wang tunai RM600,000 di dalam van ketika menghantar wang itu ke ibu pejabat syarikat membawa padah apabila masing-masing dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan.

Majistret Shahrul Ekhsan Hasim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Razali Kamarulzaman, 29, dan Mohammad Asmil Kadni, 26, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berasal dari Raub didakwa selaku pembawa beg berisi wang tunai RM600,000 yang diamanahkan ke atas mereka telah melakukan pecah amanah antara 7.30 petang dan 10.50 malam, 14 November lepas di Securiforce cawangan Raub di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi pengawal keselamatan diarah untuk menghantar empat beg kanvas berisi wang tunai ke ibu pejabat syarikat keselamatan itu di Kota Damansara, Selangor.

Bagaimanapun, dalam perjalanan, dua tertuduh telah menyeluk ke dalam salah satu beg dan mengoyakkan sebuah beg kecil yang berada di dalam beg itu untuk mengambil wang tunai RM100, yang keseluruhannya berjumlah RM600,000, sebelum memasukkannya ke dalam beg galas mereka.

Wang itu kemudiannya disembunyikan di bawah almari kecil di sebuah bilik hotel di sini, dengan RM700 daripadanya dijadikan bayaran sewaan bilik untuk tempoh seminggu.

Terdahulu ketika rayuan, Mohd Razali merayu dijatuhi hukuman ringan kerana dia perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan seorang anak kecil dengan pendapatan hanya RM1,500 sebulan.

Manakala Mohd Asmil yang masih bujang memberitahu pendapatan bulanannya adalah kecil dan membantu menyara ibu yang uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Samirah Khalili manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA


Pengarang :