AGENSISELANGOR

Bekalan air di Gombak pulih sepenuhnya, Hulu Selangor hampir pulih

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Lima belas kawasan di Gombak yang terlibat dengan gangguan berjadual berikutan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air telah pulih sepenuhnya, sementara dua daripada 17 kawasan yang terlibat di Hulu Selangor masih belum lagi pulih, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som memaklumkan kawasan yang masih belum pulih itu adalah Rawang Perdana dan Apartment Rawang Putra.

Sehubungan itu, katanya Air Selangor sedang berusaha mempercepatkan proses pemulihan dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan.

“Dua kawasan ini dijangka pulih sepenuhnya pada 5 petang hari ini. Kerjasama dan keprihatinan para pelanggan sepanjang tempoh pemulihan ini amatlah dihargai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai boleh merujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat dan status terkini dari semasa ke semasa atau hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 atau 019-280 0919 untuk pertanyaan dan bantuan.

-BERNAMA


Pengarang :