AGENSISELANGOR

Isu anak-anak tidak sekolah perlu diselesaikan

SHAH ALAM, 15 NOV: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) menyeru semua pihak supaya memberi fokus terhadap usaha memupuk kesedaran berhubung kepentingan melanjutkan pelajaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Presidennya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, pihaknya menzahirkan kerisauan terhadap isu anak-anak di negeri itu yang tidak berminat untuk meneruskan pembelajaran di sekolah.

Katanya, usaha pendidikan harus dipandang serius dan dibangunkan secara kolektif daripada semua pemegang taruh pendidikan, khususnya dalam mengejar arus Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ke arah pembangunan negeri pintar.

“Melalui pengamatan kasar dan tinjauan lapangan PEPIAS bersama beberapa NGO lain, antara punca sampingan yang berlaku di bawah adalah kemiskinan dan masalah keluarga, tidak berwarganegara serta masalah sosial di kawasan sekitar.

“Sehubungan itu, PEPIAS menggesa satu langkah proaktif Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri bersama dengan NGO berteraskan pendidikan untuk menggembleng tenaga dalam menangani permasalahan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika menjawab pertanyaan Mazwan Johar (PAKATAN-Sungai Ramal) pada sidang Dewan Negeri Selangor dilaporkan berkata, seramai 11,031 pelajar sekolah menengah di Selangor tidak meneruskan pengajian setakat ini.

Katanya, 183 pelajar memilih untuk bekerja, berhenti sekolah (10,094), berkahwin (19), kemiskinan (9), masalah keluarga (123), sukar ke sekolah (43), takut ke sekolah (11) dan tidak berminat ke sekolah (549).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya secara konsisten memberikan kesedaran dan pengetahuan asas kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah berkaitan kepentingan belajar serta menuntut ilmu melalui program advokasi, khidmat sosial juga motivasi.

Katanya, PEPIAS melihat pentingnya keperluan untuk memperbanyakkan lagi bidang alternatif yang boleh diterokai remaja masa kini antaranya bidang kemahiran vokasional atau program IKTISASS.

“Namun, antara kelemahan di sini adalah akses atau penyaluran maklumat khusus kepada ibu bapa mahupun masyarakat terhadap bidang alternatif ini.

“Oleh itu, kita merasakan pentingnya peranan ‘orang tengah’ menjadi pihak yang menghubungkan antara Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat supaya maklumat disampaikan adalah tepat serta mutakhir.

“Melalui program-program motivasi di sekolah dan program Perkampungan Menara Gading (PMG) yang saban tahun dilaksanakan, program sedemikian menjadi medan untuk memberdaya anak-anak remaja di Selangor selain membuka ruang dan peluang untuk mereka melanjutkan pendidikan ke tahap seterusnya,” katanya.


Pengarang :