AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Isu data peribadi bocor buka tirai Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Persoalan tentang kebocoran data peribadi dan keberkesanan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bakal menjadi pembuka tirai semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pertanyaan itu diajukan Datuk Seri Ronald Kiandee (PH-Beluran) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia yang meminta kerajaan untuk menjelaskan tentang sejauh mana langkah untuk mengatasi masalah itu.

Tidak kurang menariknya isu dibangkitkan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahukan Perdana Menteri menjelaskan isu permit perlu dipohon sebelum mengadakan kempen bergerak dan tinjauan mesra semasa pilihan raya berikutan ia merupakan amalan biasa dalam pilihan raya sebelum ini.

Pada sesi sama, Tun Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) turut menanyakan soalan berkaitan penjualan vape terhadap remaja dan status kempen larangan merokok di premis makanan kepada Menteri Kesihatan.

Usai sesi jawab lisan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa.

Persidangan kali ini akan berlangsung sehingga 5 Disember.

– BERNAMA


Pengarang :