AGENSISELANGOR

Masjid Kampung Seri Aman siap sepenuhnya, larang kutip dana

PUCHONG, 4 NOV: Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kampung Seri Aman melarang sebarang kutipan dana bagi tujuan pembinaan rumah ibadat itu.

Pengerusinya, Shahrudin Mohd Sapian berkata hal itu kerana masjid berkenaan siap sepenuhnya dan hutang kontraktor berjumlah RM118,500 sudah dilangsaikan pada 4 September lalu.

“Pihak kami ada menerima aduan terdapat tabung di premis tertentu di sekitar Kuala Lumpur yang masih mengutip sumbangan bagi tujuan pembinaan masjid ini.

“Masjid Kampung Seri Aman sudah siap sepenuhnya dan kita sudah menghentikan kutipan derma.

“Kita tidak mahu penyalahgunaan wang kutipan oleh sesetengah pihak, justeru kita mahu menguar-uarkan perkara ini kepada orang ramai supaya tidak tertipu,” katanya.

Sebelum ini, pengurusan masjid terpaksa menanggung beban hutang RM400,000 dengan kontraktor ekoran dana tidak mencukupi walaupun masjid itu siap dibina pada Mei 2017.

Sementara itu, Shahrudin turut menzahirkan pengharagaan kepada individu, syarikat korporat dan pelbagai agensi yang terlibat kerana menyalurkan bantuan bagi pembinaan masjid berkenaan.

Masjid Kampung Seri Aman mula dibina pada 2014 dengan kos keseluruhan RM9.8 juta bagi menggantikan surau Seri Nurul Hidayah yang wujud lebih 50 tahun di kampung itu.

Selain penduduk Kampung Seri Aman yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Pulas, masjid itu turut digunakan penduduk kampung berdekatan iaitu Seri Aman Bistari, Aman Hilir, Aman Berkat serta Aman Tengah, bagi mengadakan solat berjemaah dan kegiatan keagamaan.

Masjid itu mampu memuatkan lebih 5,000 jemaah dalam satu-satu masa dan turut dilengkapi pejabat masjid, kuarters imam, bilal, dua bilik kuliah, bilik jenazah dan sebuah dewan makan

Sejumlah RM8 juta daripada kos pembinaan diterima daripada sumbangan orang ramai.

Sumbangan turut diberikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Perbadanan Wakaf Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.


Pengarang :