Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI lancar ‘Selangor Regional Powerhouse Roadmap’ di Barcelona

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Selangor menerusi entiti pelaburan strategiknya, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) melancarkan dokumen ‘Selangor Regional Powerhouse Roadmap’ baru-baru ini sebagai kesinambungan diskusi merealisasikan aspirasi negeri paling maju itu sebagai kuasa ekonomi serantau.

Dokumen, yang mengandungi 11 bidang fokus pintar dan 10 inisiatif serta menyediakan garis panduan untuk Selangor memacu ke hadapan selepas berjaya memperoleh status negeri pintar pada 2025 kelak, dilancarkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Kongres Sedunia Ekspo Bandar Pintar (SCEWC) di Barcelona, Sepanyol, yang berlangsung pada 19 hingga 22 November.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pelancaran berkenaan dibuat di SCEWC memandangkan ia merupakan platform utama yang menghimpunkan pakar, pemain industri dan pelbagai pemegang kepentingan antarabangsa yang arif dalam hal melibatkan perbandaran dan pembangunan masa hadapan.

Menurutnya, ia bertujuan membolehkan MBI Selangor mendapatkan maklum balas dan kritikan terus daripada mereka mengenai dokumen terbabit.

“Kita sudahpun mendapat beberapa maklum balas daripada beberapa negara lain, termasuk daripada pihak kerajaan luar yang sudahpun melihat potensi dan ruang kerjasama yang boleh dijalin menerusi pelan hala tuju ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pelbagai forum dan perbincangan diadakan dengan pemegang kepentingan di Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka.

Raja Shahreen berkata, cabarannya kini adalah untuk berfikir di luar kotak dalam menyediakan penyelesaian bagi mendepani cabaran kini dan masa hadapan di negeri Selangor.

Justeru itu, katanya, Selangor perlu terus memberi fokus kepada usaha untuk membangunkan bakat dan tumpuan khusus kepada usaha membina keupayaan belia di Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :