AGENDA NASIONAL

`Menteri Mat Lajak’ mahu dekati komuniti basikal lajak

MUAR, 8 NOV: Golongan generasi muda yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak perlu diberi bimbingan bagi menjadikan mereka insan yang berjaya dan bukan dihukum, kerana terlibat dengan kegiatan tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Muar berkata, segelintir daripada masyarakat di negara ini suka menghukum dan gagal membimbing, namun sebaliknya generasi muda ini perlukan bantuan dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menghulur bantuan tersebut.

Katanya di sebalik kutukan yang diterimanya kerana mengambil pendirian membimbing golongan ini, beliau memilih untuk terus melatih mereka dengan pendidikan TVET, mendidik tentang keselamatan jalan raya dan memasukkan mereka ke Program Pembangunan Berbasikal Negara.

“Saya akan terus mendekati komuniti ini. Saya mahu mereka jadi anak-anak yang berjaya. Saya mahu mereka berbasikal dengan selamat dan mengasah bakat mereka dengan cermat. Saya tidak mahu lihat tragedi yang sama berulang.

“Kehilangan nyawa yang menyedihkan semua. Kita harus belajar dari kesilapan. Marilah kita mencari jalan membantu dalam membimbing golongan muda ini sehingga berjaya. Kita perlu lakukan untuk Malaysia,” katanya menerusi kenyataan bertajuk ‘Menteri Mat Lajak’, di sini, hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :