AGENDANASIONAL

Pasaran getah dijangka alami dagangan lengang minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lengang minggu depan berikutan kebimbangan mengenai paras bekalan terus menjejaskan minat pembeli, kata Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low Jau Foo.

Beliau berkata, permintaan lemah itu disebabkan penjual dan pengguna masih memiliki bekalan yang tinggi.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada Jumaat, pengeluaran getah asli (NR) pada September meningkat 7.2 peratus kepada 61,731 tan daripada 57,599 tan pada Ogos, manakala stok pula menambah 3.7 peratus kepada 189,454 tan daripada 182,695 tan.

Pengeluaran NR pada September tahun ini melonjak sebanyak 28.4 peratus berbanding angka yang dicatatkan pada September tahun lepas.

Low berkata, penggunaan susu getah pukal oleh pengguna terbesar juga adalah lebih rendah memandangkan kerajaan masih bertegas untuk tidak membenarkan lebih ramai pekerja asing.

“Di peringkat antarabangsa, ketidaktentuan tindakan China dan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan perdagangan antara mereka serta kemelut Brexit yang masih wujud, turut tidak menyokong pasaran,” katanya kepada Bernama.

Keseluruhannya, pasaran global masih dalam keadaan berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai kemungkinan persetujuan AS dan China mengurangkan tarif yang dikenakan antara satu sama lain.

Sepanjang minggu ini, Low berkata, SMR 20 diniagakan dalam jajaran kecil dengan peningkatan mendadak pada Khamis kepada RM558 sekilogram dan kemudian mengakhiri dagangan pada Jumaat pada RM550 sekilogram.

Prestasi itu dipengaruhi paras bekalan sedia ada, katanya.

“Dagangan susu getah pukal juga berada dalam jajaran kecil pada awal minggu dan meningkat kepada RM436 sekilogram semasa pertengahan minggu sebelum menutup dagangan mingguan pada RM430 sekilogram.

“Kami percaya kebimbangan mengenai kenaikan harga disebabkan musim monsun yang lebih awal daripada jangkaan tidak cukup untuk mendorong pengguna membeli dalam jumlah yang besar untuk kegunaan mereka kemudian,” katanya.

Sepanjang minggu ini, pasaran getah menyaksikan dagangan rendah kebanyakannya.

Ringgit, yang naik ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan kepada 4.1225 berbanding dolar AS pada Khamis sebelum mengakhiri dagangan mingguan pada 4.1310, menjadikan komoditi ini lebih mahal sekali gus menjejaskan permintaan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 turun 0.5 sen kepada 550.5 sen sekilogram dan susut getah pukal susut 3.0 sen kepada 430.5 sen sekilogram.

Harga penutup pasaran tidak rasmi pada 5 petang bagi gred tayar SMR 20 turun 1.5 sen kepada 551.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 6.0 sen kepada 428.5 sen sekilogram.

– BERNAMA


Pengarang :