Forum Adakah Malaysia Selamat Untuk Wanita dan Pelancaran Kempen Berani Bersuara di Comman Ground, Jaya One, Petaling Jaya pada 30 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rogol, cabul: Ibu bapa kena peka aduan anak-anak

PETALING JAYA, 30 NOV: Ubah stigma ‘ala tidak mengapa..sikit sahaja’ jika anda tidak mahu anak-anak anda jadi mangsa dicabul atau dirogol!.

Aktivis sosial, Syed Azmi Al Habshi berkata, masyarakat hari ini perlu lebih peka tentang perbuatan mencabul atau rogol jika diceritakan oleh anak-anak.

Katanya, ini kerana kanak-kanak tidak mungkin sengaja menceritakan perkara berkenaan jika ia tidak berlaku kepada mereka.

“Malah, jika mereka disentuh (bukan sentuhan yang disengajakan) ibu bapa perlu bertindak.

“Jangan membiarkan perkara ini berlaku. Jangan pandang remeh. Ini yang berlaku dalam masyarakat hari ini, suka biarkan. ‘Ala, sikit sahaja’ atau ‘tiada apa-apa yang berlakulah’. Ini bahaya!,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum ‘Mengupas Isu Rogol di Malaysia: Adakah Malaysia Selamat untuk Wanita?, di Common Ground, Jaya One, di sini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kerajaan sewajarnya perlu lebih menyeluruh dalam menggubal undang-undang berkait kes rogol atau cabul.

“Akta Gangguan Seksual akan dibentangkan dalam masa terdekat seperti diumumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Cuma, saya mahukan isu bahasa juga diberi perhatian. Sebagai contoh kesihatan mental kita kerap menggelarkan mereka seperti ini sebagai gila, biul atau meroyan.

“Stigma besar membabitkan bahasa ini turut perlu diambil tindakan, hal ini kerana mereka berasa malu untuk mendapatkan bantuan lebih-lebih lagi membabitkan kes rogol,” katanya.

Sementara itu, Pakar Obstetrik Dan Ginekologi, KPJ Damansara Specialist Hospital, Dr Imelda Balchin berkata, mangsa rogol perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin tanpa perlu berasa segan.

“Kami doktor tidak menghukum anda tetapi mahu membantu anda. Jangan malu. Kita juga mahu membantu anda untuk buat laporan polis. Kami bersikap sensitif dan beri penghormatan.

“Salah satu cara pemulihan juga kita tidak boleh tuduh-menuduh kerana ia akan berikan lebih trauma kepada mangsa dan ia menyebabkan mangsa tidak dapat pulih,” katanya.


Pengarang :