BUDAYARENCANA

Suatu petang mereka bergebang

Oleh Za’im Yusoff

Suatu petang, Tun Mahathir Mohamad, Gemulah Azizi Hj. Abdullah dan Wan Afzam Wan Daud bergebang di pelenggar.

[Tun]: Tentu saja saya bukan pakar sastera. Tapi sebagai orang lama politik, saya percaya susuk politikus mempengaruhi rakyat jelata dengan percaturan kuasa.

[Wan]: Persis susuk pengarang seperti Tukya (panggilan Azizi dari watak Seorang Tua Di Kaki Gunung) mempengaruhi pembaca termasuk saya dengan percaturan cerita?

[Azizi]: Juga persis susuk pengarah seperti Wan berhasil mengadaptasi cerpen saya, “Pendoa Yang Ikhlas” ke telefilem sampai mempengaruhi penonton dengan percaturan sinema.

[Tun]: La – kalau begitu, percaturan kuasa, percaturan cerita dan percaturan sinema macam tiga anak lahir dari satu rahim yang sama la…

[Wan]: Maksud Tun?

[Azizi]: Tun maksudkan ketiga-tiga kita sama-sama terlibat dengan percaturan naratif! (Tun tersenyum kerepot. Wan menangkap kata-kata liar lalu menjinakkannya ke dalam kertas nota.)

[Nota]: Namun, naratif tidak menentukan kebenaran kerana hanya ilmu menentusahkan kebenaran. Adapun naratif berkuasa mencipta persepsi khalayak. Maka, jika tiada yang menabrak, persepsi mungkin dipersepsikan kebenaran mutlak.

Dalam cerpen “Pendoa Yang Ikhlas”, Azizi membina naratif keluarga Haji Tamim dengan melodramatik. Wan mengadaptasinya dengan membina sinema perlahan bagi memberatkan lagi beban emosi.

[Wan sambil mengambil sepotong kuih lapis]: Waktu itu, saya diberikan sekumpulan cerpen. Namun, hanya “Pendoa Yang Ikhlas” berbekas. Seperti kuih lapis ini, dimensi renungnya juga berlapis-lapis.

Lapis pertama: Melodrama si ayah tua reda melepaskan isteri. Kemudian, si politikus tua perlu melepaskan jawatan parti. Pada akhir, imam tua ditekan melepaskan khidmat jurunikah. Khalayak kampung mengasak sebelum empat anaknya turut mendesak. (Wan ngap!)

Lapis kedua: Baik isu keluarga, isu agama, apatah lagi politik, interaksi sosial masyarakat Melayu begitu politikal. Berpucuk-pucuk surat layang dipenuhi kata-kata yang berselewang pukang sampai ke telinga Haji Tamin. Sedangkan dia bertuh bahu dengan jemaah kampung sampai lima waktu sehari di masjid.

[Azizi]: Ya, budaya surat layang itu kelaziman parti politik. [

Tun]: Saya tak mudah lupa kes surat-surat layang ketika PAU 1997. (Azizi merenyih.) [Wan]: Sebab itu saya kembangkan dialog Haji Tamin pada anaknya Limah, “Kecik pada kita, besar pada yang menulis” sebagai paparan realiti mangsa buli siber yang menerima komen-komen Facebook dan Instagram entah dari siapa. (Wan ngap!!)

Lapis ketiga: Bagi saya, ada sebab halus Tukya mencetak watak Haji Tamin dengan menindankan susuk ayah dengan susuk politikus ditindih sekali dengan susuk jurunikah. (Azizi memandang Wan penuh minat).

Tukya sedang memerikan gerak tindak susuk politikus (Wan memandang Tun, Tun terbeliak) melalui watak Haji Tamin! Susah sangatkah Haji Tamin meletakkan jawatan jurunikah sedangkan sebelumnya dia sukarela meletakkan jawatan ketua parti, jawatan yang jauh lebih besar? (Wan ngap!!! Tanpa sisa. Ada senyum puas terbit di bibir Azizi.)

[Nota]: Untuk memahami POV (point of view) politikus bagi peletakan jawatan, soroti bagaimana politikus sendiri bermula saat pelantikan jawatan. Lantaran akhir berkait ke awal, seperti pengamatan Agus R. Sarjono,“masa depan ditentukan oleh masa lalu” – vice versa.

Politikus dilantik dengan keraian semeriah pilihan raya sebagai satu pengiktirafan kuasa yang diberikan. Kerana politikus dilantik dengan rasional, maka politikus hanya wajar berundur dengan rasional.

[Azizi]: Sebab itu, semasa PAU 2002… [Tun]: Ya, ya saya tak mudah lupa raungan Why? Why? Rafidah. Dah macam aria Lauretta “O mio babbino caro” dalam opera Gianni Schicchi (1918). Sebab itu, naratif pembangkang, saya bersandiwara. Naratif saya? Kalian tebaklah.

[Nota]: Secara pesimis, susuk politikus mencari pengiktirafan akan khidmatnya melalui peletakan jawatan. Secara objektif, politikus hanya akan berundur setelah yakin penggantinya penerus legasi perjuangan. Naratifnya, legasi itu warisan wajib dipertahankan setelah dirinya berkorban meranduk lumpur politik.

[Wan]: Inilah gerak tindak politikal Haji Tamin dalam “Pendoa Yang Ikhlas”. Haji Tamin bukan tidak mahu berundur tapi seperti Tun, dia mencari sebab lalu mencipta peristiwa pernikahan Aziz tiba-tiba dipercepat.

[Azizi]: Ha, peristiwa itu bukan sekadar kejutan bahkan satu rasional bahawa hanya setelah yakin penerus legasi bersedia, barulah wajar ‘akad nikah’ berlangsung tanda peralihan kuasa. Sedia apabila penerus legasi faham dirinya mata rantai terkini dari mata-mata rantai terdahulu. Persis warisan doa datuk Aziz diperturunkan ke ayahnya dan akhirnya, ke Aziz.

[Tun]: Jadi, sebab itu Wan masukkan suara berita radio tentang kereta pertama pada awal babak, ya? (Wan terkekeh-kekeh.) Macam saya sebut dalam M for Malaysia (2019), ada tiga fasa naratif perjuangan rakyat. Fasa pertama, kemerdekaan. Fasa kedua, pembangunan. Fasa ketiga, penolakan ke atas penjarah negara. Pada fasa inilah, saya terpanggil berperan.

[Nota]: Kita boleh menebak tindak Tun. Selaku pemimpin yang hidup pada zaman para pendiri negara, pastinya soal negara atas landasan asal menjadi hal begitu sentral.

[Tun]: Saya akui saya tersilap memilih pengganti. Saya tersilap menyokong pula pengganti kepada pengganti itu.

[Nota]: Jadi tidak pelik kalau Tun berhati-hati memberi kata putus dalam soal letak jawatan. Selain mengelak pisang berbuah dua kali, persoalan lebih dasar adalah jaminan landasan negara atas jalan benar setelah pengundurannya. Dengan memahami begini, maka persoalan siapakah pengganti Tun sebagai perdana menteri tidak menjadi lebih besar berbanding siapakah pengganti Tun sebagai penerus legasi perjuangan.

[Wan]: Bagi menjawab soal ini, saya akhirkan Pendoa Yang Ikhlas (2019) persis di hujung Memories of Murder (2003), Detektif Park mencenung penonton menjejak pembunuh bersiri yang masih bebas. Di hujung Parasite (2019), Ki-Woo mencenung penonton apakah pelan anti-kemiskinannya terlunas…

[Nota]: Di hujung “Pendoa Yang Ikhlas” sebetulnya bukan hanya Aziz seorang mencenung, malah Tun, Azizi & Wan yang rancak bergebang turut merenung penonton seakan-akan berbisik [Tun]: ‘Usai melihat hayatku…’ [Azizi]: ‘Usai membaca cerpenku…’ [Wan]: ‘Usai menonton telefilemku…’; sudahkah kau mampu dan mahu menerima amanah di bahu?

[Wan]: Dengan ini, harapnya penonton faham mengapa satu-satunya watak tersandar di beranda, di tiang, di jendela – adalah anak Haji Tamin termuda – Aziz.

[Nota]: Aziz itu kita. Generasi muda Malaysia Baru.

Senja menjelma. Malam itu tercerah.


Pengarang :