Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi bergambar bersama para penerima pada Anugerah Asia Halal Brand 2019 pada 6 Disember 2019. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Datuk Mahmud Abbas dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

55 syarikat dapat pengiktirafan di Asia Halal Brand Award 2019

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Sejumlah 55 syarikat dari beberapa negara Asia menerima pengiktirafan di majlis anugerah Asia Halal Brand Awards 2019 Gala Night, di sini malam tadi.

Majlis dianjurkan oleh Armani Media Sdn Bhd, penerbit Entrepreneur Insight, dan tahun ini majlis anugerah serantau itu menerima 488 pencalonan yang melibatkan syarikat-syarikat dari Malaysia, Jepun, Taiwan, Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Pengasas Armani Media Datuk KK Chua berkata anugerah ini adalah satu platform bagi mengiktiraf Malaysia sebagai sebagai hub halal serantau.

“Jumlah penyertaan menyaksikan peningkatan 40 peratus tahun ini, kami amat gembira dan bangga dengan maklum balas yang diterima, di samping menjangka lebih banyak penyertaan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengarah Majlis Halal Malaysia Malaysia Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Antara syarikat yang menerima anugerah dalam pelbagai segmen malam tadi adalah SIMPLYSITI (syarikat kosmetik yang ditubuhkan oleh penyanyi tersohor negara Siti Nurhaliza), FG Walet Bird’s Net (pembekal suplemen diperbuat dari bahan asli), ST Rosyam Mart Sdn Bhd (pengendali pasar raya), US Pizza Malaysia (syarikat pembekal pizza) dan Loob Holding Sdn Bhd (pemilik rangkaian Tealive).

Sementara itu, Sirajuddin berkata penganjuran anugerah berkenaan dilihat sebagai salah satu inisiatif oleh badan korporat untuk mempromosi konsep halal dengan lebih meluas selain memberi motivasi kepada usahawan untuk meningkatkan kualiti produk mereka.

-BERNAMA


Pengarang :