Pemandangan dari udara menampakkan kawasan rumah di sekitar Kota Tinggi yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 16 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Pahang, Johor jejas lebih 9,000 mangsa

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kedaaan banjir di Johor semakin pulih dengan lebih ramai mangsa dibenar pulang ke rumah masing-masing, manakala situasi di Pahang tidak banyak berubah.

Bagaimanapun, empat laluan masih ditutup di Johor iaitu di Kota Tinggi melibatkan di Kilometer (KM) 59 Jalan Johor Bahru-Mersing, Km 80 Jalan Johor Bahru-Mersing, Km 42 Jalan Lok Heng-Mawai dan Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Di Mersing, laluan yang ditutup ialah Jalan Persekutuan Mersing-Johor Bahru manakala Jalan Telok Arong dibuka satu laluan bagi kenderaan ringan berikutan tanah runtuh.

Setakat jam 9 pagi ini, seramai 8,527 orang masih berada di pusat-pusat pemindahan sementara di negeri itu, kurang sedikit berbanding malam tadi (8,545 orang).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, Kluang mencatat jumlah mangsa paling tinggi dengan 2,632 orang diikuti Kota Tinggi iaitu seramai 2,107 orang. Mereka ditempatkan di 89 pusat pemindahan sementara.

Di Pahang, Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir hari ini selepas Rompin, Raub dan Temerloh dengan jumlah mangsa seramai 1,119 orang daripada 293 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara.

Rompin mencatat mangsa paling ramai iaitu 1,005 orang daripada 261 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS manakala di Raub seramai 66 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Bera pula merekodkan 25 mangsa daripada enam keluarga dan di Temerloh jumlah mangsa kekal 23 daripada empat keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Pahang menerusi kenyataan memaklumkan setakat malam tadi, tiga sungai di Pahang berada di paras waspada iaitu Sungai Kuantan Pasir Kemudi dan Sungai Belat di Kuantan serta Sungai Pukin di Rompin.

– BERNAMA


Pengarang :