PENDAPATRENCANA

Elak kerenah pelaksanaan PSP demi kemudahan semua pihak

Oleh ERDA KHURSYIAH BASIR

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Kuasa beli kelompok berpendapatan sederhana (M40) dijangka meningkat apabila mereka turut menerima faedah Program Subsidi Petrol (PSP) yang sekali gus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, selain mengurangkan beban yang ditanggung golongan M40, program berkenaan dapat membantu mereka mengatur perbelanjaan lain yang lebih produktif.

Mengulas lanjut, Muhammad Ridhuan berkata, perbelanjaan penggunaan petrol golongan M40 secara purata adalah sekitar RM400 hingga RM500 sebulan, bagi jarak sederhana (30 minit) antara rumah dan tempat kerja, dengan kereta tidak melebihi 1600cc.

Muhammad Ridhuan Bos Abdullah, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM.

“Melalui bantuan subsidi petrol, mereka boleh menjimatkan perbelanjaan kira-kira 40 hingga 60 peratus sebulan. Lebihan belanja yang ada boleh digunakan untuk menampung kos lain.

“M40 juga secara purata menggunakan kereta dengan produktif untuk ke tempat kerja atau untuk aktiviti lain yang membawa kepada pengembangan sektor lain terutama pelancongan dan perkhidmatan,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau lagi, golongan M40 juga lazimnya mempunyai penyata gaji, justeru tidaklah sukar untuk memperluaskan pemberian PSP kepada mereka.

“Selain merupakan pembayar cukai terbesar negara, M40 adalah penyumbang kepada hampir 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penggerak industri dan ekonomi negara secara keseluruhannya. Mereka juga mewakil 40 peratus daripada 14 juta tenaga kerja.

“Mereka ini dalam middle income trap. Tersepit di antara golongan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan berpendapatan tinggi (T20) sehingga mengekang kuasa belanja mereka. Justeru, mereka juga perlu dibantu terutama dalam berhadapan situasi kos sara hidup yang kian meningkat,” tambahnya.

Beliau berkata, negara lain turut mempunyai dasar tertentu dalam menyediakan kesejahteraan dan kemudahan kepada rakyat mereka sebagai contoh China, India, Indonesia dan Thailand yang merupakan antara pemberi tertinggi subsidi isi rumah.

Tampung kos lain

PSP sebelum ini hanya melibatkan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau golongan B40 namun kini diperluas kepada M40 yang menepati kriteria pemilikan kenderaan yang ditetapkan.

Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lepas berkata, bermula Januari 2020, PSP bersasar yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan (PH), akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.

Kategori pertama ialah penerima BSH (B40) yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang diberikan dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Kategori kedua pula ialah bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH yang mana mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Minyak isu utama

Bernama turut mendapatkan pandangan Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Prof Mohd Hamdan Adnan mengenai inisiatif PSP ini.

Beliau yang juga aktivis kepenggunaan berpendapat PSP yang bersifat lebih menyeluruh sememangnya menepati keperluan rakyat dalam berhadapan prestasi ekonomi semasa.

“Isu minyak (petrol) memang menjadi isu utama rakyat khususnya kumpulan B40 dan M40. Harga minyak yang mahal akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Apabila semuanya meningkat (harga), ia memberi implikasi besar kepada ekonomi rakyat yang pendapatan mereka tidaklah seberapa.

“Sekurang-kurangnya dengan usaha sebegini, ia dapat membantu memberi manfaat kepada golongan sewajarnya. Cuma yang penting kerajaan perlu sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh pihak tertentu yang bersifat tidak amanah dalam mengagihkan bantuan dan menipu untuk kepentingan peribadi,” tegasnya.

Menyentuh mengenai laporan sebelum ini yang menyebut kira-kira 45,000 daripada 2.9 juta penerima BSH daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan PSP tetapi tidak mempunyai akaun bank bagi membolehkan bantuan itu disalurkan, beliau berkata, kerajaan perlu ‘turun padang’ bagi memastikan peruntukan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

“Ada yang betul-betul susah sampai nak buka akaun bank pun tak ada duit. Jadi kerajaan perlu ada mekanisme terbaik dalam mengatasi perkara ini termasuklah memastikan bantuan subsidi ini turut dinikmati oleh mereka yang berada di kawasan pedalaman,” katanya.

Mohd Hamdan menambah, PSP ketika ini merupakan mekanisme terbaik bagi membantu golongan sasaran, namun kerajaan juga pada masa sama perlu mengenal pasti kaedah lain yang bersesuaian bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Intergrasi Kad95

Sementara itu, berhubung penggunaan sistem Kad95 seperti yang disebut semasa pembentangan Bajet 2020, beberapa pihak berpendapat ia wajar diselaraskan sama seperti sistem bayaran tunai yang dikredit ke akaun penerima subsidi petrol kategori B40.

Presiden Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, jika sistem Kad95 yang dijangka akan dilaksana secara berperingkat pada suku pertama 2020 itu diteruskan, ia diharap boleh diintegrasi dengan terminal pembayaran sedia ada di stesen minyak bagi mengelak sebarang kesulitan.

Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, Presiden Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

“Sekiranya ia berasingan daripada sistem sedia ada, ia dibimbangi akan mengganggu operasi stesen minyak lebih-lebih lagi jika penerima subsidi perlu beratur panjang. Ini boleh menimbulkan kesesakan dan mencetus kemarahan pelanggan.

“Jika sistem Kad95 ini tidak diintegrasikan, ia juga akan mewujudkan ruang manipulasi apabila petrol RON95 bersubsidi dijual kepada mereka yang tidak layak disebabkan faktor kesilapan manusia.

“Sindiket boleh menggunakan kesempatan itu untuk membeli petrol RON95 bersubsidi seterusnya mengakibatkan pengusaha menanggung kerugian,” katanya sambil menambah kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan kad sedia ada seperti kad loyalti Mesra, Treats, Bonuslink termasuk MyKad bagi tujuan memudah urusan.

Tidak ganggu operasi

Turut berharap pelaksanaan sistem Kad95 tidak memberi kesan terhadap modal pusingan pengusaha stesen minyak, Khairul Annuar berkata, jika perkara itu berlaku, ia boleh menjejaskan kelancaran operasi perniagaan.

“Ketika ini margin kami adalah kira-kira 11 hingga 14 sen selepas di tolak potongan oleh syarikat minyak. Sekiranya kami perlu menanggung terlebih dahulu 30 sen subsidi sebelum pihak kerajaan membayar semula kepada kami, setiap liter yang kami jual adalah pada kadar kerugian 16 ke 19 sen seliter.

“Kami akan kehabisan modal pusingan dan mungkin terpaksa berhenti operasi atau menambah fasiliti kewangan yang akan menambah kos modal,” katanya.

Beliau menambah, selain subsidi bersasar kepada yang layak, kerajaan juga boleh mewujudkan kaedah khusus pembelian petrol untuk golongan T20 di mana mereka perlu membeli petrol RON97 mengikut harga pasaran manakala bagi pelancong dan bukan warganegara Malaysia pula perlu membayar petrol berserta cukai.

Mengulas tentang harga petrol RON95 yang akan diapung secara berperingkat apabila PSP dilaksanakan mulai Januari 2020, beliau berkata, penukaran harga perlu dilakukan dalam tempoh setiap tiga bulan atau paling kerap sebulan sekali bagi memastikan operasi pembekalan minyak ke stesen lebih efisen, kelangsungan bekalan minyak selain mengelak kerugian akibat perubahan yang kerap.

Menurut beliau, setiap kenaikan harga minyak sudah pasti akan mengakibatkan inflasi.

Beliau memberikan contoh semasa pemerintaan kerajaan sebelum ini di mana penukaran mingguan meningkatkan kekerapan kenaikan harga, sebagai contoh sepanjang harga RON95 diapungkan, 28 kali kenaikan harga telah terjadi dalam masa 51 minggu. Kenaikan harga hanya 10 kali dalam masa 27 bulan (108 minggu) untuk RON95 apabila perubahan bulanan dilakukan.

Apabila kerajaan PH mengambil alih teraju pemerintahan, harga RON95 mula ditetapkan.

Khairul Annuar berkata, harga runcit bahan petroleum di Malaysia adalah yang ke-11 termurah di dunia berbanding 168 negara.

“Kebanyakan negara yang harga minyak mahal adalah kerana mereka mengapungkan harga sepenuhnya mengikut harga pasaran.

“Namun begitu, keputusan mengapungkan harga minyak mengikut harga pasaran juga boleh menyebabkan kejatuhan kerajaan seperti yang berlaku kepada bekas Presiden Suharto di Indonesia, yang terpaksa meletak jawatan dan mengakibatkan kerajaan kembali mengurus pengapungan harga,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :