Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi (kiri), Mohamad Razif Abdul Wahab (tengah) Noradiazhar Sulaiman melakukan gimik berkayuh basikal sempena sidang akhbar penajaan jersi Raja Bukit Tour de Selangor 2019 di Pulau Indah, Klang pada 3 Disember 2019.
AGENSISELANGOR

Hafizh MotoGP beralih angin sertai Tour de Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Bermula dengan Cub Prix, Moto2 dan MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah kini cuba beralih ‘selera’ kepada roda lain apabila mengesahkan untuk menyertai perlumbaan berbasikal Tour de Selangor (TdS) 2019 dari 18 hingga 22 Disember ini.

Anak jati Selangor ini juga memilih bukan calang-calang pasukan iaitu Fomema AmSkins Racing yang turut dianggotai pelumba pertama negara pemenang satu peringkat Le Tour de Langkawi 2010, Anuar Manan dari Terengganu.

Hafizh Syahrin Abdullah

Turut menjadi rakan sepasukan pelumba MotoGP yang digelar El Pascao (Ikan Kecil) dalam TdS edisi kedua ini ialah Sofian Nabil Omar Bakri, Hafiz Hamid dan Irfan Shathiran.

Hafizh, 25, yang merupakan pelumba pertama Asia Tenggara dalam MotoGP telah menutup musim MotoGP 2019 di Valencia, Sepanyol dengan menduduki tempat ke-23 keseluruhan pada 17 November lalu.

“Saya selalu berkayuh bersama mereka dalam menjaga tahap kecergasan saya tetapi seakan tidak percaya apabila saya dilamar menyarung jersi Fomema AmSkins Racing bagi TdS.

“Saya tidak harapkan kejayaan besar dalam penampilan sulung perlumbaan jelajah berbasikal sebesar TdS ini tetapi mahu mencabar diri saya apabila bersaing dengan para pelumba profesional,” katanya dalam siaran media di Pulau indah, Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.

TdS 2019 melibatkan lima peringkat perlumbaan sejauh 690.4 kilometer keseluruhannya dengan Bukit Jugra, Banting pada peringkat ketiga yang diperkenalkan kali ini, dianggap laluan paling mencabar.

Jelajah diberi status 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini telah menarik minat 20 pasukan dalam dan luar negara antaranya lapan yang bertaraf Benua termasuk dua pasukan Malaysia, Terengganu Inc.-TSG dan Sapura.

Sementara itu, penganjur TdS 2019, Masterpacer Venture semalam mengumumkan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd., pemaju hartanah Bio Bay Selangor di Pulau Indah, Pelabuhan Klang sebagai rakan penaja jersi Raja Bukit bagi pemenang pendakian setiap peringkat.

Galeri Pameran Bio Bay Selangor di Pulau Indah turut akan menjadi garisan pelepasan pelumba TdS 2019 peringkat pertama 18 Disember sejauh 182.3 kilometer yang berakhir di Batang Kali iaitu laluan terpanjang.

Kata Pengarah Perlumbaan TdS 2019 yang juga Pengarah Urusan Masterpacer Venture, Noradiazhar Sulaiman; “kemunculan Hafizh bakal menjadi pemangkin kemeriahan saingan TdS memandangkan popularitinya sebagai ikon sukan pemotoran negara.”

Pengarah Sukan Fomema AmSkins Racing, Fais Syarifuddin Abdul Kadir pula berkata, ini platform baharu Hafizh yang pastinya ramai peminat sukan mahu menilai sejauh mana kemampuannya apabila beralih daripada kelajuan 200 hingga 300 kilometer sejam MotoGP, kepada kelajuan 50 atau 60 kilometer sejam TdS.

“Kami sentiasa mempromosikan produk-produk hartanah kami sebagai satu strategi pemasaran yang penting terutama Selangor Bio Bay, hab bioteknologi di Selangor selepas kejayaan Hab Halal Selangor.

“Kami juga pernah terlibat dengan penganjuran Perlumbaan 180 Kilometer Pulau Indah yang mendapat sambutan hangat penggemar sukan berbasikal pada 2016 dan 2017,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mohamad Razif Abdul Wahab.


Pengarang :