AGENDANASIONAL

Indeks Harga Pengguna naik 0.9 peratus

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur inflasi utama, meningkat 0.9 peratus pada November lalu kepada 122.1 berbanding 121.0 yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan indeks keseluruhannya didorong oleh indeks pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7 peratus); pendidikan (1.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.5 peratus); komunikasi (1.5 peratus), serta perabot, peralatan rumah tangga dan penyelenggaraan isi rumah (1.5 peratus).

“Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 353 item menunjukkan kenaikan pada November lalu berbanding November 2018. Sebaliknya, 143 barang merosot manakala 56 item tidak berubah,” katanya.

Pada asas bulanan, Mohd Uzir berkata, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding Oktober, disokong terutama oleh indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.4 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4 peratus) dan kesihatan (0.2 peratus).

“IHP bagi tempoh Januari hingga November lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama 2018,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata IHP di tiga negeri, iaitu Kuala Lumpur (1.4 peratus), Selangor dan Putrajaya (1.3 peratus) dan Pulau Pinang (1.1 peratus) melepasi kadar IHP kebangsaan pada 0.9 peratus pada November 2019 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Semua negeri mencatat kenaikan indeks makanan dan minuman bukan alkohol, dengan Selangor dan Putrajaya (2.0 peratus), Kuala Lumpur (1.9 peratus), Pulau Pinang (1.9 peratus), Perak (1.8 peratus), Johor (1.8 peratus) dan Kedah dan Perlis (1.6 peratus) melepasi indeks makanan dan minuman bukan alkohol kebangsaan sebanyak 1.5 peratus pada November 2019, katanya.

— BERNAMA


Pengarang :