PBTSELANGOR

200 pelajar terima bantuan kelengkapan sekolah

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 200 pelajar dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima bantuan kelengkapan sekolah sempena ‘Program Ceria Kembali Ke Sekolah’ semalam.

Kesemua pelajar terpilih membabitkan DUN Rawang, Sungai Tua, Kuang, Taman Templer dan Gombak Setia  masing-masing menerima sumbangan beg, baju sekolah serta alat tulis di Pasaraya Mydin Subang Jaya.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, acara tahunan itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Gombak, Jabatan Khidmat Masyarakat Gombak, QSR Brand termasuk pasaraya terbabit.

“Program ini bertujuan menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak-anak kurang berkemampuan seperti anak yatim, golongan asnaf dan anak-anak daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Malah, ia bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan dalam menguruskan kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, program disempurnakan Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dan dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Azmi Ismail termasuk beberapa wakil daripada rakan kerjasama.

“Kita berharap program ini dapat membantu meringankan beban pelajar sekolah yang kurang berkemampuan seterusnya meningkatkan motivasi untuk mereka meneruskan sesi persekolahan pada 2020,” katanya.


Pengarang :