Lim Guan Eng. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Inisiatif #MalaysiaKerja dijangka dilaksana Jun tahun depan

BUTTERWORTH, 7 DIS: Inisiatif #MalaysiaKerja bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan wanita dijangka akan dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, buat masa ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bertanggungjawab mengendalikan program di bawah inisiatif itu sedang membuat persiapan termasuk menyediakan mekanisme bagi pelaksanaannya.

“Sekarang KWSP telah buat semua persiapan untuk memastikan ia dapat berjalan lancar. Kita nak buat secara online. KWSP sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini dan mereka akan lancarkan pada pertengahan tahun depan.

“Kita akan bagi insentif untuk tempoh dua tahun. Kepada mereka yang menganggur lebih setahun mereka layak untuk menerima insentif ini. Ini serampang dua mata, kita bagi insentif gaji kepada pekerja dan insentif kepada majikan untuk ambil pekerja Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program Latihan Pengurusan Krisis dan Sumbangan Mesin Gergaji Rantai di Parlimen Bagan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Lim menyerahkan 24 buah mesin gergaji rantai dan 14 alat pelindung diri kepada 11 penerima termasuk Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam, Balai Bomba dam Penyelamat Butterworth, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Seberang Perai Utara, Balai Polis Mak Mandin dan Pusat Khidmat Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam parlimen itu.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, menerusi inisiatif itu kerajaan akan memberikan insentif sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja manakala RM300 sebulan kepada majikan.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu kelak dijangka mewujudkan tambahan 350,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun dan ia sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran belia yang kini mencecah hampir 11 peratus.

“Ini tidak bermakna dalam lima tahun hanya ada 350,000 pekerjaan baharu diwujudkan. Tidak, ia lebih daripada itu kerana ini tidak mengambil kira sektor swasta. Kalau kita tambah dengan sektor swasta lebih sejuta peluang pekerjaan.

“Tapi ini khusus untuk mereka yang tidak dapat kerja terutamanya belia, graduan, wanita dan mereka yang tidak dapat cari kerja dengan gaji munasabah. Kita harap dapat turunkan kadar pengangguran dalam kalangan orang muda, kita harap dapat separuhkan jumlah itu selepas program ini,” katanya.

Beliau berharap semua rakyat Malaysia termasuk parti pembangkang menyokong inisiatif itu supaya usaha untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya belia dan wanita dapat direalisasikan.

– BERNAMA


Pengarang :