Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan selesai isu 27 lot tanah Kampung Indian Settlement

BATU CAVES, 15 DIS: Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan 27 lot tanah melibatkan penduduk Kampung Indian Settlement di sini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kesemua mereka terdiri daripada penduduk menetap di tepi sungai dan akan dipindahkan ke penempatan baharu yang telah disiapkan.

“Isu berkaitan Kampung Indian Settlement ini sebenarnya adalah perkara lama sejak saya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves dan selesai pada 2009, namun ianya tidak dapat mengikut pelan asal memandangkan terdapat sebahagian penduduk yang tinggal di tepi sungai.

“Kerajaan Negeri berusaha membantu penduduk kerana sebelum ini mereka menghadapi kecelaruan tanah lot yang bercampur serta tidak disusun dengan baik.

“Alhamdulillah, sekarang masalah ini sudah diatasi dan saya jangkakan ianya akan selesai dalam tempoh setahun lagi, setelah itu kita akan memulakan pembinaan jalan utama untuk kemudahan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan beg sekolah sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin yang juga ADN Sungai Tua berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri berkenaan di sini, hari ini.

Untuk rekod, kampung terbabit antara penempatan tradisi penduduk India di Parlimen Gombak.


Pengarang :