Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

Pegawai SPRM sesuai bakal diletak di pejabat MB Kedah

BUKIT KAYU HITAM, 6 DIS: Kedah menjadi negeri pertama menerima cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan seorang pegawai kanannya di pejabat menteri besar sebagai usaha meningkatkan integriti dalam tadbir urus kerajaan negeri.

Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya dalam proses memperhalusi maklumat pegawai integriti berpangkat kanan yang bersesuaian untuk bertugas di pejabat berkenaan.

“Sebelum ini kita ada pegawai peringkat kerajaan negeri sahaja. Tetapi sekarang kita cadang nak tambah peranan SPRM…semalam dalam pertemuan dengan Menteri Besar (Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir) beliau telah setuju dan mengumumkan secara prinsip akan menerima (cadangan tersebut).

“Syabas, Kedah kerana jadi negeri pertama menerima cadangan ini. Kami akan teruskan rancangan ini dengan negeri lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Rasuah Sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengesyorkan cadangan itu kepada semua kerajaan negeri dan maklum balas yang diterima agak positif namun setakat ini pihak kerajaan negeri berkenaan belum memuktamadkan keputusan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap.

Semalam, Mukhriz mengumumkan kerajaan negeri menerima cadangan tersebut dalam usaha mencegah aktiviti rasuah dan menjaga integriti pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau dipetik sebagai berkata, persetujuan cadangan tersebut dilihat sebagai satu tindakan yang menepati dasar kerajaan negeri yang mahu memastikan segala keputusan yang melibatkan tadbir urus negeri dilakukan dengan telus dan berintegriti.

– BERNAMA


Pengarang :