AGENDAJENAYAH

Polis bongkar taktik edar dadah dalam bentuk kiub ais

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Polis mengesan taktik baru pengedar, yang memproses dadah menjadi ketulan kiub ais bagi memudahkan penggunanya khayal dengan hanya seketul ‘air batu’, bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata taktik itu dikesan selepas polis menahan seorang suspek, dan membongkar kegiatan sebuah makmal mini memproses dadah di sebuah rumah teres di Jalan Kuchai Lama, di sini, Khamis lepas.

Beliau berkata suspek yang berusia 33 tahun itu menyewa premis berkenaan untuk dijadikan makmal mini dan ia dipercayai bergiat aktif selama tiga bulan dengan bermula secara kecil-kecilan, menjual kiub ais itu pada harga RM120 tiap satu.

“Hasil serbuan, polis merampas 14 paket plastik berisi dadah ketamin, lima bekas plastik berisi dadah ketamin dan 27 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai lebih RM490,000.

“Suspek dipercayai turut bekerjasama dengan pengusaha kelab malam bagi membekalkan ketulan kiub ais berkenaan untuk dijual di kelab-kelab malam sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati dadah berkenaan dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 8,000 penagih dadah dan ia turut mendapat permintaan untuk dipasarkan ke negara jiran.

“Melalui ujian saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin. Suspek direman tujuh hari bermula 20 Dis dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :