Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari melakukan gimik pelepasan peserta 10km yang di sertai DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

RMS sertai 10,000 peserta meriahkan Larian Menjunjung Kasih 2019

PETALING JAYA, 8 DIS: Program Larian Menjunjung Kasih 2019 sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai hampir 10,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Acara yang diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-74 itu diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, pagi tadi.

Acara itu bertambah bermakna apabila Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyertai larian bagi kategori 10 kilometer (km).

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama peserta 10km pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain kategori 10km, larian itu turut membabitkan 10 kategori lain, antaranya 5km Orang Kelainan Upaya, 5km pelajar lelaki, 5km pelajar perempuan, 10km lelaki terbuka, 10km wanita terbuka, 21km lelaki terbuka dan 21km wanita terbuka.

Acara larian itu dilepaskan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari seawal jam 6.00 pagi.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berlari pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tengku Amir yang tiba di garisan penamat kurang 40 minit selepas itu dikalungkan pingat oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Selain acara larian, penganjuran kali ini turut diadakan beberapa acara sampingan lain, antaranya Bola Jaring, ‘Three On Three Street Soccer’, Sukan Rakyat Antara Agensi, ‘Inflatable Kids’, ‘Game Stall’ dan ‘Busking’.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri berhasrat memperbanyakkan lagi acara larian bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kerajaan Negeri akan mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini termasuk program larian pada sambutan ambang tahun baru nanti,” katanya.


Pengarang :