Datuk Abdul Rashid Asari membuat lawatan ke tapak telaga air panas artesian di Hulu Langat, baru-baru ini. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Telaga air panas artesian terbesar ditemui di Selangor

SHAH ALAM, 26 DIS: Tourism Selangor mengesahkan penemuan telaga air panas artesian terbesar di Malaysia yang terletak di Kampung Jawa, Hulu Langat.

Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaannya, Fadhirul Anuar Salleh berkata telaga yang mengeluarkan air dari bawah tanah tanpa perlu dipam itu berkeluasan160 kaki dalam dengan suhu antara 47 hingga 49 darjah celcius.

“Jabatan Mineral dan Geosains Selangor (JMGS) menemukan telaga air panas itu di tapak tanah wakaf masjid Kampung Jawa yang terbesar di Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Fadhirul Anuar berkata Tourism Selangor mewakili Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan JMGS untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai produk pelancongan terbaharu di negeri ini.

“Kita mempunyai rancangan untuk menjadikan tapak berkenaan seperti di Onsen, Jepun namun kita masih menunggu keputusan dari Kerajaan Negeri,” katanya.

Semalam, EXCO Kebudayaan, Pelancongan dan Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari membuat lawatan ke tapak berkenaan yang turut disertai Tourism Selangor, JMGS, dan Majlis Perbandaran Kajang.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung penemuan telaga air panas ketika kerja pengorekan dilakukan untuk membina masjid di kawasan berkenaan.

Difahamkan, JMGS juga menerima permohonan daripada pihak masjid dan penduduk untuk membantu mereka mendapatkan sumber air di kawasan terbabit.

Kepakaran JMGS adalah berkaitan bidang kaji bumi seperti penyiasatan sumber asli termasuk air bawah tanah, kolam air panas dan lain-lain.


Pengarang :