DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan baginda ketika Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Hari Keputeraan Yang ke-74 berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Turun padang, bantu rakyat – Sultan Selangor

KLANG, 11 DIS: Pemimpin politik di Selangor digesa terus mengambil berat tentang kebajikan dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam urusan pentadbiran negeri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemimpin politik bukan sahaja perlu turun padang melihat masalah tetapi perlu berusaha membantu rakyat khususnya berpendapatan rendah dan miskin.

“Sejak kebelakangan ini rakyat menderita dengan kesempitan hidup akibat dari kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang semakin meningkat dari hari ke sehari.

“Beta menyeru kepada pemimpin politik ini untuk turun bersama rakyat bagi melihat masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah dan miskin,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya Yang ke-74 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, baginda memuji dan berbangga dengan kepesatan perkembangan ekonomi dan infrastruktur negeri serta pembangunan perumahan yang dapat memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat.

“Sepanjang tempoh pemerintahan Beta, Beta melihat pembangunan negeri Selangor bermula sebagai sebuah negeri yang sederhana pembangunannya kemudian dibangunkan secara terancang dan berkembang menjadi sebuah negeri yang pesat membangun sehingga menjadi sebuah negeri termaju di negara ini.

“Beta percaya kejayaan yang dicapai ini adalah hasil usaha cemerlang pihak kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Selangor, penjawat awam serta sumbangan rakyat yang bekerja di Selangor secara berterusan,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda titah supaya segala kemajuan dan kemakmuran yang dicapai Selangor dapat berterusan dinikmati rakyat.

“Adalah diharapkan pemimpin masyarakat dari semua peringkat dapat bekerjasama dalam menjalankan tugas dengan jujur dan ikhlas.

“Beta juga mengharapkan supaya kerajaan negeri serta penjawat awam sentiasa berkhidmat dengan cekap dan amanah serta meletakkan kemakmuran rakyat sebagai matlamat utama,” titah baginda.


Pengarang :