Pemandangan udara aliran trafik dari Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Johor bergerak lancar pada Operasi Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina pada Sabtu dan Ahad ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

8,570 kemalangan direkodkan dalam tempoh lima hari

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sejumlah 8,570 kemalangan jalan raya membabitkan 13,038 kenderaan dilapor dalam tempoh lima hari Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baharu Cina sejak dilancarkan pada Sabtu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 2,701 kes; diikuti Johor (1,348 kes); dan Kuala Lumpur (1,019 kes).

“Daripada 65 kemalangan maut yang direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 47 kematian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sejumlah 125,464 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 77,042 saman membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak mematuhi lampu isyarat; memandu melebihi had laju; menggunakan lorong kecemasan; memotong barisan; dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari akan berlangsung sehingga 1 Februari ini.

-BERNAMA


Pengarang :