AGENDANASIONAL

AirAsia batal penerbangan ke Wuhan

SHAH ALAM, 24 JAN: Syarikat penerbangan AirAsia membatalkan semua penerbanganya dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China sehingga 28 Januari ini berikutan penyebaran wabak koronavirus yang melanda wilayah berkenaan.

Syarikat penerbangan itu menjelaskan, langkah diambil selaras nasihat dan peraturan pihak berkuasa kesihatan tempatan dan global, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Berita Harian.

“AirAsia memantau teliti situasi ini dan akan terus memberi maklumat mengenai perkembangan (penerbangan) terkini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi pelanggan yang mahu membuat pertukaran perjalanan mereka dibenar memilih menukar mana-mana laluan dari China ke Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket tanpa sebarang kos tambahan bergantung kepada kekosongan tempat duduk.

“Pelanggan turut dibenar mendapatkan pulangan bayaran penuh sekiranya enggan dengan pilihan itu.

“Pilihan ini tertakluk untuk penerbangan sehingga 15 Februari 2020 dan penerbangan balik dari 16 hingga 29 Februari 2020. Permohonan balik boleh dibuat menerusi AVA di support.airasia.com,” katanya.


Pengarang :