Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

e-Tunai Rakyat: RM18.8 juta dibelanja kurang 48 jam

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sebanyak RM18.8 juta dibelanjakan kerajaan dalam program e-Tunai Rakyat, kurang 48 jam pelaksanaannya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata program itu menerima reaksi menggalakkan apabila 784,000 permohonan diterima dan 672,000 diluluskan setakat 10 malam tadi.

“Saya harap seluruh rakyat ambil manfaat ini. Ini hadiah daripada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya antara MRT Corp dan MMC-Gamuda JV, di sini hari ini.

Ditanya kebimbangan orang ramai berhubung pencerobohan data peribadi, Guan Eng berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana data yang diperoleh tidak akan didedahkan kepada pihak berkepentingan.

“Kalau kita nak sebut data, sudah ada data dari kad pengenalan. Kalau ada apa-apa manfaat pun ia (data) daripada segi trend penggunaan.

“Di sini janganlah terbawa-bawa oleh pihak tertentu yang mungkin iri hati dengan sambutan baik atas e-wallet ini (e-dompet). Mereka cuba memperkotak-katikkan usaha ini,” katanya.

Dianggarkan 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet, bermula 15 Januari hingga 14 Mac.

-BERNAMA


Pengarang :